Monday, March 16, 2015

Projek pembesaran serta naik taraf Lapangan Terbang Kota Bharu akan diberi keutamaan dalam RMK-11

Projek pembesaran serta naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu akan diberikan keutamaan oleh Kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia Ke-11.
KOTA BHARU: Kerajaan Pusat sedang meneliti keperluan pembangunan di Kelantan untuk dimasukkan sebagai projek keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara infrastruktur yang menjadi keutamaan ialah pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai dan projek pembesaran serta menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Kelantan sememangnya memerlukan kemudahan infrastruktur yang lebih baik dan ia perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan, katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dun Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mengenai titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V supaya kerajaan negeri dan Kerajaan persekutuan meningkatkan kerjasama dalam membantu mangsa banjir terutama bagi membina rumah kekal, Mustapa berkata, Jawatankuasa Bersama Banjir Kelantan akan cuba menyegerakan pembinaan rumah kekal itu.

"Kami minta jawatankuasa memastikan rumah bagi mereka yang ada tanah dapat disegerakan pembinaannya manakala mangsa yang belum mempunyai tanah terutama yang menetap di khemah, jawatankuasa perlu fikirkan kaedah lain untuk menempatkan mereka sama ada di rumah transit atau rumah sewa," katanya.

Beliau berkata, kira-kira 1,100 keluarga mangsa banjir Disember tahun lepas, tidak mempunyai tanah sendiri untuk pembinaan rumah kekal.

Sumber: BERNAMA | 16 Mac 2015

No comments:

Post a Comment