Friday, March 20, 2015

Langkawi bakal jadi hab antarabangsa AirAsia

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
LANGKAWI: AirAsia berhasrat menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini, sebagai hab antarabangsanya dengan sasaran sekurang-kurangnya sejuta penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata rancangan itu dijangka dapat dimulakan empat bulan lagi sejajar usaha syarikat penerbangan itu menempatkan lebih ramai anak kapal dan juruterbangnya di Langkawi.

"Kami menganggarkan dapat menempatkan lima pesawat di sini dan mampu menjana antara sejuta hingga 1.5 penumpang dalam masa singkat, iaitu sesuatu yang asing di Langkawi sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran paparan imej kepengerusian Malaysia bagi ASEAN di pesawat AirAsia yang disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, di sini, Rabu.

Menurut Fernandes, sebagai hab antarabangsa, AirAsia boleh mengendalikan penerbangan terus antara bandar raya ASEAN dan seterusnya China dan India, ke Langkawi.

Pada masa ini, syarikat penerbangan itu hanya mengendalikan satu penerbangan terus antarabangsa iaitu antara Langkawi dan Singapura.

Menurutnya, AirAsia telah berusaha sekian lama untuk merealisasikan impiannya menjadikan Langkawi sebagai hab antarabangsa dan amat menghargai langkah kerajaan membenarkannya meneruskan rancangan itu.

"Kerajaan telah melihat dengan adanya kos struktur yang betul, kita sebenarnya boleh mewujudkan perniagaan baharu," katanya.

Selain Langkawi, Malaysia juga, kata Fernandes, turut memiliki beberapa lapangan terbang yang berpotensi menjana trafik antarabangsa lebih tinggi selagi bayaran ditetapkan adalah berpatutan.

"(Lapangan terbang) Melaka atau Kuching juga boleh mempunyai lebih banyak penerbangan antarabangsa. Ia (penerbangan antarabangsa) tidak perlu menerusi KLIA2 semata-mata.

"Kita memiliki banyak lapangan terbang yang hebat tetapi ia tidak penuh. Ia seharusnya digunakan (secara optimum) dan akan menjadi satu langkah besar untuk Malaysia," katanya.

Sumber: BERNAMA | 18 Mac 2015

No comments:

Post a Comment