Tuesday, July 28, 2015

MTC sokong cadangan menjadikan beberapa lapangan terbang di Pantai Timur sebagai lapangan terbang antarabangsa

KOTA BHARU: Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) menyokong cadangan untuk menjadikan beberapa lapangan terbang di Pantai Timur sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, berdasarkan perkembangan pelancongan di Pantai Timur, perkara tersebut dilihat sebagai keperluan.

“Lebih banyak lapangan terbang antarabangsa, maka ia lebih baik. Ini kerana bukan sahaja membantu memudahkan pelancong untuk datang ke tempat kita, ia juga membuka pelbagai peluang dalam cabang industri yang ada.

“Contohnya di Kelantan, kita lihat kapal terbang digunakan sebagai pengangkutan utama kini, mungkin disebabkan oleh infrastruktur jalan yang tidak mengizinkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Jamuan Hari Raya MTC di Hotel Perdana, Kota Bharu pada Ahad.

Hadir sama, Exco Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman.

Mohd. Sharkar berkata, menaiktaraf kepada lapangan terbang antarabangsa juga bukan mudah kerana ia memerlukan kesediaan dari segi infrastruktur serta keperluan lain secara keseluruhannya.

Kita boleh membawa cadangan ini ke peringkat tertinggi kerana ia bukan sahaja membantu Kelantan secara keseluruhannya, malah Terengganu dan Pahang juga tidak akan ketinggalan.

“Ia juga di antara langkah-langkah untuk membantu kerajaan mencapai matlamat 30 juta pelancong dengan pendapatan 67 bilion menjelang 2020 nanti. Jumlah tersebut tidak termasuk pelancong domestik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, walaupun nilai mata wang Malaysia kini merosot, namun ia mesti dilihat melalui skop yang berbeza yang mana ia sebenarnya akan menambah lagi bilangan pelancong untuk datang ke negara ini.

“Kenapa Singapura masuk ke Johor Bharu, sebab mereka boleh dapat murah lagi di tempat kita. Sebab itu saya lihat perkara ini sebenarnya mempunyai kesan yang positif.

“Ia akan membantu industri-industri lain yang berkait rapat dengan pelancongan terutamanya cenderamata dan sebagainya. Kita mesti lihat perkara ini ke arah positif,” katanya.

Sumber: sokmo.net | 27 Julai 2015

No comments:

Post a Comment