Monday, July 27, 2015

Rakyat Kelantan perlukan penerbangan haji dari Kota Bharu terus ke Jeddah dan Madinah

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan penerbangan haji dari Kota Bharu terus ke Jeddah dan Madinah di Arab Saudi perlu menjadi keutamaan atau agenda Kerajaan Negeri Kelantan dan juga Kerajaan Persekutuan demi kepentingan umat Islam di negara ini terutamanya di negeri Kelantan.

Hal ini kerana kemudahan penerbangan haji ini amat penting bagi jemaah haji Kelantan yang selama ini terpaksa transit terlebih dahulu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk meneruskan perjalanan ke Jeddah dan Madinah. 

Setakat ini, Lembaga Tabung Haji (LTH) dengan kerjasama Malaysia Airlines hanya menawarkan penerbangan haji dari tujuh lapangan terbang, iaitu KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru (SIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu (LTSM), dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar (LTSAH). 

Penerbangan haji dari LTSM telah dimulakan pada tahun 2008 (1429H), manakala penerbangan haji dari LTSAH telah bermula pada tahun 2013 (1434H). 

Dengan mengambil kira jumlah penduduk dan bilangan jemaah haji dari Kelantan yang paling ramai berbanding dua lagi negeri di Pantai Timur, adalah wajar jika penerbangan haji secara terus turut diadakan dari Kota Bharu. 

Untuk merealisasikan rancangan dan impian ini, landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) perlulah dipanjangkan terlebih dahulu bagi membolehkan pesawat berbadan lebar yang biasa digunakan untuk penerbangan haji beroperasi di lapangan terbang ini. 

Landasan LTSIP wajar dipanjangkan daripada 2,400 meter kepada sekurang-kurangnya 3,500 meter untuk kegunaan pesawat berbadan lebar seperti B777-200ER, A330-300, A350-900, dan B747-400. 

Oleh itu, Kerajaan Persekutuan diharap dapat menimbangkan cadangan ini dengan melaksanakan projek pemanjangan landasan LTSIP di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas nanti. 

Sumber: Blog Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

Nota: Artikel daripada laman blog ini tidak dibenarkan sama sekali diterbitkan semula melalui kaedah salin dan tampal (copy & paste) di mana-mana laman sosial lain termasuk laman Skyscraperscity.com, Facebook, blog, dan sebagainya. Hormatilah hasil kerja orang lain dan hentikan budaya salin dan tampal tanpa kebenaran. 

JABATAN PEMBANGUNAN PERSEKUTUAN KELANTAN (JPPK) | KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA | JABATAN PENERBANGAN AWAM MALAYSIA (DCA) | LEMBAGA TABUNG HAJI | WILAYAH EKONOMI PANTAI TIMUR (ECER) | RANCANGAN MALAYSIA KESEBELAS (RMK11) 

No comments:

Post a Comment