Friday, September 11, 2015

Malaysia Airlines Berhad bermula dengan 56 laluan domestik dan antarabangsa dari KLIA

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang telah memulakan operasi komersial sejak 1 September lepas bermula dengan 56 laluan domestik dan antarabangsa dari hab utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

MAB ditubuhkan sebagai sebuah syarikat penerbangan antarabangsa (international airline) dan bukannya sebagai sebuah syarikat penerbangan serantau (regional airline) seperti mana yang dirancang pada peringkat awal penubuhannya. 

Sebagai sebuah syarikat penerbangan antarabangsa yang baharu, Malaysia Airlines menawarkan 41 laluan antarabangsa melibatkan laluan di rantau Asia Tenggara, Asia Timur, Asia Barat, Asia Selatan, Oceania, dan Eropah, manakala selebihnya merupakan laluan domestik. Berikut merupakan laluan domestik dan antarabangsa yang ditawarkan Malaysia Airlines dari Terminal KLIA 1, KLIA:- 
  1. Domestik (15 laluan): Alor Setar, Bintulu, Johor Bahru, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Kuantan, Kuching, Labuan, Miri, Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Sandakan, Sibu, dan Tawau. 
  2. Asia Tenggara (13): Bandar Raya Ho Chi Minh, Bangkok (Suvarnabhumi), Bandar Seri Begawan, Denpasar, Jakarta (Soekarno-Hatta), Hanoi, Manila, Medan, Phnom Penh, Phuket, Siem Reap, Singapura, dan Yangon. 
  3. Asia Timur (9): Beijing (Capital), Guangzhou, Hong Kong, Osaka (Kansai), Seoul (Incheon), Shanghai  (Pudong), Taipei (Taoyuan), Tokyo (Narita), dan Xiamen. 
  4. Asia Barat (2): Dubai dan Jeddah. 
  5. Asia Selatan (8): Bangalore, Chennai, Colombo, Delhi, Dhaka, Hyderabad, Kathmandu, dan Mumbai. 
  6. Oceania (6): Adelaide, Auckland, Darwin, Melbourne, Perth, dan Sydney. 
  7. Eropah (3): Amsterdam, London (Heathrow), dan Paris (Charles de Gaulle). 

Selain itu, Malaysia Airlines juga menawarkan perkhidmatan penerbangan ke Amerika Utara dan Scandinavia melalui perkongsian kod dengan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa, iaitu American Airlines dan Japan Airlines bagi laluan ke Amerika Utara termasuk Hawaii serta KLM bagi laluan ke Scandinavia dan beberapa bandar raya Eropah yang lain termasuk Rome.

Dalam pada itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dijadikan hab sekundernya dan menawarkan perkhidmatan penerbangan antarabangsa ke Shanghai (Pudong), Taipei (Taoyuan), dan Tokyo (Narita), manakala satu laluan antarabangsa ditawarkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), iaitu ke Singapura. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.malaysiaairlines.com

Sumber: Kota Bharu Airport Blog | www.kotabharuairport.blogspot.my

No comments:

Post a Comment