LTSIP kekal sebagai lapangan terbang tersibuk di Pantai Timur. |
KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) terus mencatatkan peningkatan jumlah pengendalian penumpang dengan mengendalikan 1,016,492 orang penumpang dari Januari sehingga Jun tahun ini. Ia merupakan peningkatan sebanyak 167,469 orang penumpang atau 19.72 peratus berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.
Jumlah pengendalian ini sebenarnya telah mengatasi jumlah pengendalian penumpang setahun lapangan terbang ini pada tahun 2009 yang mengendalikan 1,003,162 dan hampir menyamai jumlah pengendalian penumpang pada tahun 2010, iaitu sebanyak 1,047,755.
Secara perbandingan, Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu (LTSM) telah mengendalikan 423,673 orang penumpang dari Januari sehingga Jun tahun ini, manakala Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan (LTSAS) mengendalikan 152,342 orang penumpang dalam tempoh yang sama.
Dengan kata lain, LTSIP kekal sebagai lapangan terbang tersibuk di Pantai Timur dan yang kesembilan tersibuk di Malaysia dari segi jumlah pengendalian penumpang selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (SIA), Lapangan Terbang Miri (LTM), dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA).
Dalam pada itu, pada tahun ini LTSIP dijangka mengendalikan kira-kira 2.1 juta penumpang dan dijangka meneruskan momentum peringkatan jumlah penumpang dari tahun ke tahun dengan pertumbuhan dua angka.
Sumber: Kota Bharu Airport Blog | www.kotabharuairport.blogspot.my
No comments:
Post a Comment