Thursday, September 29, 2016

Firefly gantung laluan Kota Bharu - Johor Bahru mulai 30 Okt 2016

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan milik penuh Malaysia Airlines Berhad (MAS), iaitu FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly) akan menggantung laluan Kota Bharu - Johor Bahru (KBR-JHB) berkuat kuasa 30 Oktober ini, manakala penerbangan terakhir bagi laluan ini dijadualkan pada 29 Oktober 2016. 

Laluan KBR-JHB ini telah mula diperkenalkan Firefly sejak 26 April 2012 dengan kekerapan tiga kali seminggu, manakala sejak Ogos tahun lepas kekerapan penerbangan ditambah kepada lima kali seminggu. 

Namun begitu, Firefly diminta menimbangkan semula keputusan ini yang dianggap terlalu drastik. Tambahan pula, laluan ini telah beroperasi lebih empat tahun menghubungkan bandar raya terbesar di selatan tanah air dengan bandar raya terbesar di Pantai Timur. 

Firefly dicadangkan supaya mengekalkan laluan ini dengan mengurangkan kekerapan penerbangan daripada lima kali seminggu kepada tiga kali seminggu. 

Dalam pada itu, Firefly juga akan turut menggantung enam lagi laluan mulai tarikh yang sama, iaitu melibatkan laluan-laluan Subang - Koh Samui, Subang - Medan, Pulau Pinang - Krabi, Pulau Pinang - Kuantan, Pulau Pinang - Koh Samui, dan juga Johor Bahru - Ipoh

Faktor kelembapan ekonomi dan penyusutan nilai ringgit dipercayai telah menyebabkan kekurangan permintaan bagi tujuh laluan ini sekali gus memaksa Firefly mengantung kesemua tujuh laluan ini. 

Setakat ini, pihak pengurusan Firefly masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini tetapi jualan tiket untuk perjalanan selepas 29 Oktober ini telah dihentikan bagi semua tujuh laluan ini. 

Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

No comments:

Post a Comment