Sunday, September 18, 2016

Pembesaran LTSIP dijangka bermula awal tahun depan

Datuk Seri Mustapa Mohamed beramah mesra dengan pemandu kereta sewa ketika hadir pada majlis penyampaian 13 permit tambahan teksi lapangan terbang yang baharu diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Balai Ketibaan LTSIP.  Foto: Bernama
KOTA BHARU: Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini dijangka bermula awal tahun depan berikutan Kerajaan Pusat sudah meluluskan peruntukan khas bagi tujuan itu

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ketika ini termasuk Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sedang dalam proses menyediakan pelan untuk pembesaran lapangan terbang terbabit. 

Beliau berkata, dari segi kos untuk projek pembesaran lapangan terbang itu difahamkan sekitar RM400 juta, tetapi jumlah sebenar belum diketahui kerana masih dalam kajian. 

"Kerajaan Pusat sudah meluluskan peruntukan membesarkan lapangan terbang ini (LTSIP) dan mungkin awal tahun depan kita harap kerja untuk membesarkan lapangan terbang ini akan bermula.

"Sekarang LTSIP ini mempunyai banyak penerbangan (domestik) dan apabila diperbesarkan sudah pasti penerbangan bertambah sekali gus bertambah rezeki pemandu teksi lapangan terbang dan bilangan teksi juga ditambah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan 13 permit tambahan teksi lapangan terbang yang baharu diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Balai Ketibaan LTSIP di sini, tadi. 

Turut hadir Pengerusi Persatuan Pemandu Kereta Sewa/Teksi Lapangan Terbang, Pengkalan Chepa (PELAPEK), Abdul Rashid Mamat. 

Ditanya pembesaran LTSIP itu termasuk rancangan menaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa, Mustapa berkata, perkara itu bergantung kepada permintaan yang membabitkan pengendali syarikat penerbangan dan MAHB

Katanya, sebelum ini LTSIP sudah pun dijadikan lapangan terbang antarabangsa yang membabitkan kemudahan penerbangan terus seperti Kota Bharu-Singapura, tetapi terpaksa dihentikan berikutan kekurangan penumpang terutama dari Kota Bharu ke republik itu. 

"Syarikat ini (penerbangan) berniaga dan perlu ada jumlah penumpang mencukupi secara berterusan ke destinasi antarabangsa. Jadi, Ini isu perniagaan, kalau ada permintaan Kota Bharu (LTSIP) sudah pasti akan menjadi lapangan terbang antarabangsa," katanya. 

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, PELAPEK jika LTSIP dinaikkan taraf semula sebagai lapangan terbang antarabangsa, ia memerlukan sehingga 100 teksi sebagai kemudahan pengangkutan awam untuk penumpang dari lapangan terbang ke destinasi yang hendak dituju. 

"Terima kasih atas usaha Mustapa, PALAPEK memperoleh 13 permit tambahan teksi lapangan terbang di sini menjadikan jumlah keseluruhan 63 berbanding 50 permit sebelum ini," katanya.

Sumber: Berita Harian | Bisnes | 17 Sept. 2016

No comments:

Post a Comment