Sunday, September 18, 2016

Kerja naik taraf LTSIP dijangka bermula awal tahun depan

KOTA BHARU: Projek naik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini dijangka bermula awal tahun depan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan bagi projek tersebut yang akan menelan belanja antara RM300 dan RM400 juta.

Pada masa ini, kerajaan sedang dalam proses menyediakan pelan sebelum kerja-kerja pelaksanaan dijangka dimulakan tahun depan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, menyerahkan permit teksi kepada 13 individu bagi menjalankan perkhidmatan di stesen teksi LTSIP, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menolak dakwaan beberapa pihak bahawa ketiadaan perkhidmatan antarabangsa di LTSIP itu adalah berkaitan dengan perkembangan politik dalam negara.

Beliau berkata operasi penerbangan terus dari Singapura ke Kota Bharu di LTSIP sebelum ini terpaksa diberhentikan ekoran kekurangan sambutan penumpang dan tiada kaitan dengan soal politik.

"Ini isu perniagaan dan kalau ada permintaan sudah pasti LTSIP akan jadi lapangan terbang antarabangsa," katanya.

Sumber: Bernama | 17 Sept. 2016

No comments:

Post a Comment