Thursday, December 29, 2016

Penstrukturan semula operasi Firefly

Angkatan pesawat Firefly di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Shah Alam, Selangor.
KUALA LUMPUR: Jenama penerbangan milik Kumpulan Malaysia Airlines, Firefly bakal melalui proses penstrukturan dalam usaha menaikkan pulangan perniagaannya berikutan saingan sengit syarikat Malindo Air yang turut beroperasi di Subang, Selangor.

Menurut laporan Pusat Penerbangan Asia Pasifik (CAPA), Firefly telah mengurangkan bilangan pesawat serta kapasiti domestik di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada kadar 40 peratus sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan itu.

Jelas CAPA, syarikat penerbangan itu ketika ini beroperasi menggunakan 12 pesawat ATR 72 turboprop, berbanding 18 pesawat beberapa bulan lalu.

Selain itu, menurut pusat pe­nerbangan berkenaan, strategi agresif Malindo Air mengembangkan perniagaannya telah memberi impak kepada Firefly.

Jelasnya, sejak diperkenalkan pada tahun 2013, Malindo Air kini mengendalikan 16 pesawat ATR 72 yang kesemuanya berpusat di Subang.

“Kehadiran Malindo Air telah memberi saingan baharu terhadap kesemua penerbangan domestik yang sebelum ini eksklusif milik Firefly dari Subang,” menurut CAPA di dalam laporan penilaiannya baru-baru ini.

Jelas pusat pe­nerbangan itu la­gi, lebihan kapasiti di Subang telah mendorong Kumpulan Malaysia Airlines menstruktur semula Firefly melalui penjadualan semula pe­nerbangan syarikat itu de­ngan harapan dapat meningkatkan pulangan serta muatan penumpang.

“Langkah mengintegrasikan penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly sedang diusahakan dari segi perkongsian kod penerbangan, penyatuan penerbangan serta penjenamaan semula.

“Firefly masih dilihat sebagai komponen penting di dalam Kumpulan Malaysia Airlines yang juga sedang mengalami proses pemulihan sejak dua tahun lalu. Kami melihat operasi perkhidmatan penerbangan yang kecil (Firefly) masih diperlukan untuk menjana pulang­an dalam persekitaran pasaran yang sengit,” jelas CAPA.

Menurut laporan sebelum ini, Pe­ngarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG) dan Malaysia Airlines Bhd. (MAB), Peter Bellew berkata, perkhid­matan penerbangan Firefly akan lebih dirapatkan lagi de­ngan Malaysia Airlines termasuk perkongsian program kesetiaan, pertukaran tiket penerbangan serta kadar tambang.

Syarikat penerbangan itu juga dilaporkan mempunyai lebih 30 pesawat jenis ATR yang digunakan oleh Firefly dan MASwings.

Sumber: Utusan Malaysia | Korporat | 28 Disember 2016 | Terbitan 29 Disember 2016

No comments:

Post a Comment