Sunday, December 18, 2016

LTSIP: Rakyat Kelantan tuntut penjelasan Dato' Pa tentang status lapangan terbang antarabangsa

Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan.
PADA 13 Disember 2016 (Selasa), rakyat Kelantan dikejutkan dengan jawapan daripada Datuk Ab. Aziz Kaprawi, Timbalan Menteri Pengangkutan di Dewan Negara bahawa Kerajaan Persekutuan tidak bercadang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa. 

Jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Pengangkutan tersebut ternyata bercanggah dengan kenyataan Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan pada 9 Oktober lepas yang mengatakan bahawa LTSIP akan dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa. 

Kronologi 

13 Dis. 2016 - Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kapri memberi jawapan di Dewan Negara bahawa Kerajaan Persekutuan tidak bercadang untuk menaik taraf LTSIP kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa. Beliau menambah bahawa RM450 juta telah diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk projek pembesaran dan naik taraf LTSIP yang dijangka dapat dimulakan pada Julai 2017. 

09 Okt. 2016 - Laporan Bernama dengan tajuk "RM2.7 bilion bina infrastruktur Kelantan" melaporkan bahawa sejumlah RM430 juta diperuntukan oleh Kerajaan Persekutuan untuk projek pembesaran dan naik taraf LTSIP yang akan dinaik taraf kepada lapangan terbang antarabangsa. Laporan berita ini diterbitkan berasaskan sidang media yang diadakan Dato' Sri Mustapa Mohamed selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan pada 9 Oktober 2016. 

16 Mei 2015 - Utusan Malaysia dengan tajuk "RMK-11: Umno minta Kelantan diutamakan" melaporkan bahawa Umno Kelantan meminta Kerajaan Persekutuan agar memberi pertimbangan yang sewajarnya dalam penyediaan infrastruktur untuk kemudahan rakyat negeri ini dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Pengerusinya, Dato' Sri Mustapa Mohamed berkata Kelantan harus berkembang seiring dengan negeri-negeri lain untuk maju menjelang tahun 2020. Keutamaan harus diberikan kepada negeri ini supaya tidak terus ketinggalan. Keutamaan kita ialah menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) untuk menjadi lapangan terbang antarabangsa dan mengatasi masalah kesesakan yang bukan hanya di landasan tetapi juga di terminal bagi menampung jumlah penumpang yang kian meningkat pada setiap tahunKedua, lebuh raya Kota Bharu-Machang sehingga ke Gua Musang. Kita tahu Kerajaan Pusat dalam pembinaan Fasa 1B dan Fasa 2A, jadi kita berharap dalam tempoh RMK-11 sebahagian besar lebuh raya ini dapat disiapkan dalam RMK 11 ke­rana ini adalah hasrat rakyat Kelantan sejak sekian lama,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan van dari Tabung Mawaddah, Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Muamalat) kepada Pusat Dakwah Jeli. 

Sehubungan dengan itu, rakyat Kelantan menuntut penjelasan daripada Dato' Sri Mustapa Mohamed atau lebih mesra dipanggil Dato' Pa berhubung perkara ini. Hal ini kerana kami rakyat Kelantan terasa telah dipermainkan dan ditipu hidup-hidup. Dalam perkara ini, mungkin Dato' Pa mempunyai jawapan untuk menjelaskan perkara ini. Walau bagaimanapun, jika benar jawapan Timbalan Menteri Pengangkutan tersebut, Dato' Pa disaran supaya membuat permohonan khas kepada YAB Perdana Menteri supaya LTSIP diberi pertimbangan khas untuk dinaik taraf dan diwartakan sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa demi keperluan rakyat Kelantan. 

Dalam pada itu, Dato' Pa dan juga pasukan (Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan) diharap dapat merundingkan projek pemanjangan landasan LTSIP dengan YAB Perdana Menteri agar landasan LTSIP dapat dipanjangkan daripada 2,400 meter kepada sekurang-kurangnya 3,200 meter, iaitu mengikut perancangan asal di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan. Pemanjangan landasan ini amat penting supaya LTSIP dapat mengendalikan pesawat berbadan lebar seperti A330-300, A350-900, B777-200ER, dan B747-400. Jika landasan LTSIP dapat dipanjangkan kepada 3,500 meter adalah lebih baik untuk keperluan jangka panjang lapangan terbang ini. 

Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com 

No comments:

Post a Comment