Thursday, July 27, 2017

Scoot mahu tambah jumlah pesawat

Lee Lik Hsin (tengah) bersama krew kabin Scoot sempena majlis pelancaran destinasi baharu syarikat penerbangan itu di Singapura.
SINGAPURA: Syarikat penerbangan kos rendah Scoot mahu menambah bilangan pesawat daripada 37 kepada 74 buah dalam tempoh lima tahun akan datang khususnya model Airbus A320.

Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Lee Lik Hsin berkata, pertambahan pesawat itu seiring dengan proses penggabungan Scoot dan Tigerair di bawah syarikat pega­ngan yang sama, Budget Aviation Holdings yang telah dimuktamadkan hari ini.

Mulai hari ini, semua penerbangan Tigerair akan dikendalikan di bawah jenama Scoot dan penerbangan Scoot akan berope­rasi di bawah kod tanda penerbangan TR.

“Scoot telah menerbangkan lebih 50 juta pelanggan ke destinasi masing-masing dan kini mengendalikan 14 pesawat Boeing 787 Dreamliner badan lebar dan 23 pesawat angkatan Airbus A320 yang baharu dan moden, dengan enam lagi Boeing 787 Dreamliner dan 39 pesawat Airbus A320neo dalam tempahan.

“Scoot menjangkakan untuk menerima dua lagi pesawat menjelang akhir 2017 dan kira-kira empat pesawat dalam tempoh dua tahun,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran lima destinasi baharu di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Komersial Scoot, Leslie Thng dan Ketua Pegawai Operasi Scoot, Ho Yuen Sang.

Terdahulu, Scoot memper­kenalkan lima destinasi baharu termasuk ke Kuantan, Pahang; Kuching, Sarawak; Palembang, Indonesia; Harbin, China dan perjalanan jarak jauh ke Honolulu, Amerika Syarikat.

Lik Hsin berkata, pemilihan Kuantan dan Kuching berikutan tarikan unik negeri berkenaan sekali gus menjadikan jumlah destinasi ke Malaysia kepada enam selepas Ipoh, Perak; Langkawi, Kedah; Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Laluan baharu ini termasuk Harbin, Honolulu dan Kuching, dijangka memulakan operasi selewat-lewatnya akhir 2017, sementara Kuantan dan Palembang (awal 2018).

“Scoot kini menawarkan penerbangan ke 65 destinasi meliputi 18 negara,” katanya yang tidak menolak kemungkinan untuk menambah destinasi lain di Malaysia.

Sembilan bulan lalu, Scoot dan Tigerair mengumumkan hasrat untuk menjadi jenama tunggal dan beroperasi di bawah lesen menggunakan jenama Scoot yang diperkukuhkan.

Industri penerbangan mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada Tigerair dengan penerbangan terakhir dari Singapura ke Tiruchirappalli, India pada 11.05 malam, semalam.

Dalam majlis sama, Scoot turut memperkenalkan pakaian seragam baharu buat anak kapalnya yang lebih mesra digelar Scootees berserta pertukaran slogan baharu iaitu Escape the Ordinary.

Sumber: Utusan Online | Luar Negara | 25 Julai 2017 | Terbitan 26 Julai 2017

No comments:

Post a Comment