Monday, April 16, 2018

AirAsia tumpu domestik

Riad Asmat
SEPANG: AirAsia mahu meluaskan lagi penerbangan ke destinasi domestik di Malaysia, seiring dengan permintaan yang tinggi dan kapasiti yang dimiliki oleh syarikat penerbangan tambang murah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Riad Asmat berkata, pihaknya berjaya meraih lebih 46 peratus bahagian pasaran perjalanan udara domestik sejak 2016 dan memiliki lebih 60,000 kerusi setiap minggu di dalam pasaran domestik pada tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya kini memiliki 84 pesawat dan tambahan tujuh lagi tahun ini dengan dua daripadanya sudah diterima, dan menjelang akhir tahun ini, pesawat AirAsia di­jangka melebihi 90 buah.

Daripada sudut Kumpulan AirAsia keseluruhannya, syarikat ini memiliki 197 pesawat setakat akhir 2017, menjadikannya terbesar di rantau Asia Tenggara.

“Terdapat permintaan untuk penerbangan domestik dan kami mahu menyediakan kapasiti di mana wujudnya peluang,” kata Riad kepada Utusan Malaysia di RedQ, ibu pejabat AirAsia di sini baru-baru ini.

Wawancara eksklusif ini adalah bersempena 100 hari pertama Riad dilantik ke jawatan CEO AirAsia itu pada Januari lalu, menggantikan Aireen Omar yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan CEO Kumpulan Air­Asia.

Riad menyertai AirAsia pada waktu syarikat sedang melalui proses struktur korporat baharu. Status penyenaraian AirAsia Berhad akan dipindahkan kepada AirAsia Group Bhd (AAGB) menjelang pertengahan tahun ini. Ini menjadikan Riad sebagai CEO de facto AirAsia Malaysia (MAA). AAGB akan menjadi syarikat pegangan induk bagi semua operasinya di Asia Tenggara.

Riad diberi tiga mandat iaitu mengurangkan kos operasi, mencipta kecemerlangan operasi dan perluasan penerbangan domestik.

“Peluang-peluang adalah ba­nyak di dalam sektor domestik, kami hanya perlu menyusun penggunaan aset dengan lebih baik dan terbang di mana wujud permintaan,” katanya.

Ini termasuk Sabah dan Sarawak iaitu menghubungkan bandar-bandar kecil di dalam kedua-dua negeri itu.

AirAsia tiada pesawat turbo prop tetapi ia tidak bermakna AirAsia mahu menggantikan tempat Firefly, sebaliknya untuk menyokong operasi di sesuatu destinasi.

Kesungguhan itu terpancar dengan cadangan membina terminal tambang murah di Lapangan Terbang Kuching, yang secara amnya disambut positif oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

Dalam laporan terbaharu Capa Centre of Aviation, Air­Asia didapati tiada persaingan di 21 laluan, manakala Malaysia Airlines bersaing di 14 laluan dan Malindo Air (lima).

Riad menyaksikan sendiri ketika menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu di mana faktor penumpangnya berjumlah 95 peratus, dan ini mendorong minatnya untuk menambah lagi kekerapan penerbangan ke destinasi seumpamanya.

Apakah ini bermakna Air­Asia akan mengurangkan penerbangan ke destinasi tertentu, dan tidakkah ini akan menjejaskan hasil? Riad memberi contoh destinasi seperti Koahsiung dan Maldives, tidak akan memberi impak besar.

“Tetapi kesan berganda-ganda daripada penggunaan pesawat kami bagi penerba­ngan jarak lebih dekat, adalah lebih besar.

Dengan usaha penyusunan semula struktur korporat dan langkah pendigitalan, operasi kumpulan akan lebih rendah, sekali gus menurunkan keseluruhan kos. Perubahan ini membolehkan AirAsia menumpukan usaha menjual lebih banyak kerusi dan menggunakan sepenuhnya aset.

“Ini akan mendorong kepada lebih ketelusan, kecekapan dan penggunaan sepenuhnya aset. Kita akan menggunakan kapasiti sebaik-baiknya,’’ ujar beliau.

Bagi tahun 2017, AirAsia mencatat perolehan RM9.71 bilion dan untung bersih RM1.59 bilion. Faktor penumpang adalah 88 peratus dan jumlah penum­pang ialah 65.7 juta, iaitu mening­kat 16 peratus berbanding 56.6 juta pada 2016.

Tahun ini, pemerhati industri menganjurkan AirAsia dijangka meraih untung bersih RM1.56 bilion, keuntungan bersih RM1.9 bilion dan perolehan RM97 bi­lion.

Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 15 April 2018 | Terbitan 16 April 2018

No comments:

Post a Comment