Saturday, April 9, 2016

9 jam menunggu Rayani Air batal penerbangan

SEBAHAGIAN daripada penumpang terpaksa menunggu lebih sembilan jam sebelum dimaklumkan pesawat Rayani Air membatalkan kesemua penerbangannya di klia2, Sepang, Selangor, semalam. GAMBAR IHSAN DEIDRE JUSTIN
KUALA LUMPUR: Mutu perkhidmatan Rayani Air sekali lagi dipertikai apabila membatalkan keseluruhan penerbangannya gara-gara masalah yang didakwa melibatkan kegagalan membayar gaji pekerja.

Sumber dalaman yang enggan dikenali mendakwa, masalah sama pernah berlaku pada November lalu dan kebanyakan pekerja hanya mendapat bayaran gaji lewat sebulan daripada biasa.

Ramai pekerja yang sudah tidak tahan kerana pihak majikan berjanji untuk membayar gaji pada 28 Mac lalu tetapi sehingga hari ini masih tiada bayaran dibuat selepas memungkiri janji sama pada 1, 5 dan 7 April.

Apa yang dilihat hari ini banyak pekerja termasuk juruterbang me­ninggalkan tugas masing-masing dan ini telah menyebabkan ke­se­mua penerbangan Rayani Air terpaksa dibatalkan serta-merta,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan kebanyakan penumpang tidak berpuas hati apabila penerbangan mereka antaranya ke Kuching, Pulau Langkawi, Kota Kinabalu serta Kota Bharu dibatalkan dan dibiarkan menunggu sehingga pukul 5 petang sebelum memaklumkan apa yang berlaku.

Rayani Air akhir-akhir ini mene­rima banyak aduan daripada orang ramai berikutan kelemahan operasi syarikatnya terutama membabitkan kekerapan penundaan dan pembata­lan pener­bangan.

Pada Mac lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pernah memberitahu bahawa Rayani Air berdepan tindakan digantung operasi jika syarikat penerbangan itu gagal mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Salah seorang penumpang, Deidre Justin, 26, berkata, dia kecewa dengan syarikat penerbangan itu kerana didakwa menyusahkan pelanggan yang terpaksa menunggu lama di Terminal KLIA 2.

“Penerbangan saya sepatutnya berlepas pada pukul 7.45 pagi me­nuju ke Kota Kinabalu dan selepas ia dibatalkan, saya mendapat bayaran balik tetapi terpaksa me­nunggu selama sembilan jam.

“Tambah menyakitkan hati, saya terpaksa berkejar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk membeli tiket baharu yang sudah pasti harganya melam­bung tinggi. Bayaran tambahan saya perlu tanggung sendiri,” ujar­nya.

Katanya lagi, seorang rakannya terpaksa ditinggalkan kerana tidak cukup wang untuk membeli tiket baharu.

Seorang penumpang tidak mahu dikenali mendakwa, ini kali kedua dia menggunakan perkhidmatan Rayani Air tetapi tidak menjangka perkara tersebut berlaku.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 8 Apr. 2016 | Terbitan 9 Apr. 2016

No comments:

Post a Comment