PETALING JAYA: Juruterbang mogok telah menyebabkan beberapa penerbangan Rayani Air dibatalkan, menurut penumpang yang diberitahu tentang pembatalan itu beberapa jam sebelum masa penerbangan.
Sekurang-kurangnya tiga penerbangan dari Kuala Lumpur yang dijadualkan terbang ke Langkawi (RN182), Kota Kinabalu (RN130) dan Kuching (RN154) pada Jumaat telah dibatalkan, berdasarkan posting di media sosial yang dibuat oleh penumpang yang tidak berpuas hati.
Siti Nadwatul Shima Nor, 24, berkata penerbangannya ke Langkawi telah dijadualkan semula sebanyak tiga kali sebelum menerima teks akhir pembatalan.
Pada mulanya teks itu memaklumkan kepada beliau tentang 'penjadualan semula' penerbangan sebelum beliau menerima teks menyatakan tentang 'mogok juruterbang' dan 'keperluan operasi' sebagai sebab-sebab pembatalan.
"Semalam, pusat panggilan mereka sendiri telah menghubungi saya untuk mengingatkan tentang penerbangan itu hari ini adalah mengikut jadual tetapi akhirnya dibatalkan," katanya.
Siti Nadwatul telah membeli tiket penerbangan pada 3 Februari untuk melawat Langkawi bersama 10 anggota keluarganya termasuk bapanya yang berkerusi roda kerana mengalami masalah buah pinggang.
"Ia sepatutnya menjadi percutian yang menyenangkan tetapi kini menjadi begitu kelam-kabut. Saya tidak dapat membeli tiket penerbangan baharu kerana kos yang tinggi.
"Saya tidak mempunyai pilihan melainkan mengajak ahli keluarga saya naik bas dan membeli tiket feri ke Langkawi," katanya kepada The Star.
Pegawai kerajaan itu juga tidak berani untuk bergantung kepada tiket pulang Rayani Air dan terpaksa menempah tiket penerbangan pulang melalui penerbangan lain. "Ini satu tekanan, memakan masa dan membazirkan wang," katanya.
Ejen hartanah Des Jr Lee, 31, sepatutnya terbang ke Kota Kinabalu dengan tunangnya pada pukul 7.45 pagi Jumaat tetapi menerima teks memaklumkan tentang pembatalan itu pada pukul 3 pagi.
Penumpang berusia 31 tahun itu terpaksa mengeluarkan RM1,000 untuk membeli dua tiket baharu daripada dua syarikat penerbangan yang berbeza untuk membolehkan pasangan itu terbang ke Kota Kinabalu.
"Walaupun komunikasi terhad antara staf bawahan dan pegawai atasan mereka, mereka telah melakukan yang terbaik untuk menangani keadaan. "Saya juga mendapat bayaran balik tunai sebanyak RM396," katanya.
Ketika dihubungi, seorang jurucakap Rayani Air berkata dia tidak diberi kuasa untuk mengulas mengenai perkara itu, sebaliknya meminta pengasas syarikat penerbangan itu dihubungi.
Walau bagaimanapun, panggilan kepada pengasasnya Ravi Alagendrran masuk ke peti rakaman suara.
Sumber: mStar Online | 8 Apr. 2016
No comments:
Post a Comment