Saturday, May 24, 2014

Tiada mendapan dan takungan air di KLIA2 - MAHB

Azmi ketika merasmikan perkhidmatan bas shuttle yang disediakan oleh syarikat Mesra Indah Jaya Sdn Bhd di KLIA2, Jumaat.

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memberi jaminan bahawa Terminal KLIA 2 (KLIA2) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selamat dan tidak menghadapi masalah mendapan tanah dan takungan air.

Pengurus Besar Kanan MAHB (Perkhidmatan Operasi) Datuk Azmi Murad berkata aduan daripada sumber industri penerbangan mengenai permasalahan itu yang dibuat hampir tiga minggu selepas KLIA2 beroperasi pada 2 Mei lepas adalah tidak benar kerana MAHB akan menyelesaikannya segera sekiranya ia wujud. 

"Bukan sesuatu yang luar biasa untuk sebuah lapangan terbang menghadapi masalah berkaitan tanah. Satu istilah teknikal akan digunakan untuk menerangkan mengapa tanah tidak rata, pada kebiasaannya, ia disebabkan oleh pergerakan dalam tanah.

"KLIA2 tidak menghadapi mendapan tanah kerana semua lapangan terbang di seluruh dunia mengalami masalah berkaitan tanah tidak rata," katanya pada sidang media selepas merasmikan perkhidmatan bas ulang-alik  yang disediakan oleh syarikat Mesra Indah Jaya Sdn Bhd di KLIA2 di sini, Jumaat.

Azmi berkata demikian bagi mengulas laporan media yang memetik Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai berkata MAHB dan Kementerian Pengangkutan perlu bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah mendapan serta takungan air yang didakwa berlaku di landasan dan kawasan parkir pesawat di KLIA2.

Azmi berkata MAHB adalah pengendali lapangan terbang yang bertanggungjawab dan sentiasa mengikut garis panduan keselamatan antarabangsa yang ditetapkan dalam pengendalian sebuah lapangan terbang.

Mengenai perkhidmatan bas ulang-alik dari KLIA1 dan KLIA2, Azmi berkata orang ramai kini mempunyai pilihan untuk meletakkan kenderaan mereka dengan kadar yang lebih murah.

"Bas shuttle akan disediakan kepada mereka yang meletakkan kenderaan mereka di 'Long Term Cark Park' (tempat letak kereta jangka lama) dan membawa mereka sama ada ke KLIA atau KLIA2. Kadar bayaran sebanyak RM2.50 dikenakan untuk satu jam dan RM32 untuk sehari manakala motosikal akan dikenakan bayaran RM1 untuk sekali masuk," katanya.

Bas itu akan berada di tempat letak kereta berkenaan pada setiap 15 minit dan beroperasi 24 jam, katanya. Maklumat lanjut mengenai kemudahan parkir itu boleh diperoleh dengan menghubungi talian 03-87871735 atau 03-87874748.

Sumber: mStar Online | 24 Mei 2014

No comments:

Post a Comment