Friday, May 9, 2014

LCCT akhiri perkhidmatan pagi ini

SEPANG: Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) menutup perkhidmatannya setelah lapan tahun beroperasi di sini, dengan pelepasan pesawat AirAsiaX D7 170, ke Jeddah, Arab Saudi pada pukul 2.35 pagi ini.

Sebelum itu, pesawat AirAsia AK 63, melakukan penerbangan terakhir untuk malam tadi dari terminal berkenaan ke Kolkata, India pada pukul 10.30 malam.    

Penutupan perkhidmatan LCCT pada hari ini selaras dengan pembukaan terminal baru, KLIA2 pada 2 Mei lalu memandangkan terminal penerbangan tambang murah itu tidak lagi mampu menampung jumlah penumpang yang mencecah 22 juta orang pada tahun lalu, berbanding kapasitinya sebanyak 15 juta penumpang setahun.

AirAsia memulakan operasinya semalam di KLIA2 dengan pendaratan pesawat pertamanya dari Ho Chi Minh, Vietnam pada pukul 3.50 petang.

Dengan kos pembinaan dalam lingkungan RM4 bilion, terminal KLIA2 mampu mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun dengan AirAsia dijangka menyumbang kira-kira 80 peratus daripada trafik KLIA2.

Klia2 terletak 1.5 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) berbanding 11 kilometer jarak antara terminal utama dan LCCT.

Selepas penutupan LCCT, pihak Malaysia Airports Holdings Bhd memaklumkan bahawa terminal itu akan dijadikan Terminal Kargo Udara.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri kelima ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 23 Mac 2006 dengan kapasiti asal 10 juta penumpang setahun, LCCT kemudian diperbesar untuk menampung kapasati 15 juta penumpang setahun pada 2009.

Selain syarikat kumpulan AirAsia yang terdiri daripada AirAsia, AirAsia X, Indonesia AirAsia, Thai AirAsia dan AirAsia Zest, tiga syarikat penerbangan lain turut telah menggunakan perkhidmatan di LCCT iaitu Tiger Air, Lion Air dan Cebu Pacific.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Aireen Omar berkata malam terakhir di LCCT dilalui dengan perasaan sedih kerana terminal ini banyak berjasa kepada mereka dalam AirAsia.

"Banyak kenangan manis AirAsia di LCCT sejak ia memulakan operasi pada 26 Mac 2006. "Bermacam-macam kenangan manis yang dilalui di sini dengan pelbagai pelancaran yang baik, laluan baharu dan banyak penyambungan penerbangan antarabangsa yang diwujudkan," katanya kepada media.

Aireen berkata: "Kami telah menjadikan LCCT sebagai nadi lapangan penerbangan tambang murah yang terkemuka di rantau ini dan saya dapat merasakan sentuhan perasaan amat sedih kami di sini malam ini." 

Ditanya sama ada AirAsia merancang mengambil lebih banyak kakitangan selepas berpindah ke KLIA2 memandangkan dari segi kapasitinya lapangan terbang itu tiga kali ganda lebih besar daripada LCCT, beliau berkata syarikat itu akan meningkatkan proses  perkhidmatannya tanpa perlu menambah kakitangan buat masa ini.

"Kami mahu memastikan produktiviti kakitangan terus meningkat dan mengharapkan mereka lebih cekap dan mampu melakukan pelbagai tugas pada tahap keupayaan yang tinggi," katanya.

Aireen berkata cara ini adalah lebih baik untuk usaha pelaburan dan pertumbuhan masa depan perniagaan yang lebih sihat.

Sumber: Bernama | 9 April 2014

No comments:

Post a Comment