Sunday, August 3, 2014

Perlis minta lapangan terbang dalam RMK-11

ARAU: Kerajaan Pusat diharap menimbangkan semula cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang di Perlis sebagai projek pembangunan yang bakal dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man (gambar) berkata, ini kerana Perlis menjadi satu-satunya negeri yang belum mempunyai lapangan terbang sendiri.

"Tapaknya telah dikenal pasti iaitu di Sungai Batu Pahat, Kangar yang didapati sesuai untuk dibina lapangan terbang," katanya kepada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Kawasan Pauh di sini malam tadi.

Azlan berkata, cadangan itu antara projek pembangunan di negeri ini yang dibentangkan semasa kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar ke negeri ini pada 3 Julai lalu.

Beliau berharap cadangan itu akan mendapat perhatian daripada Kerajaan Pusat. "Perlis sangat berharap projek pembinaan lapangan terbang ini menjadi kenyataan menjelang RMK-11," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya kemudahan pengangkutan udara itu dijangka dapat menjana perkembangan ekonomi di negeri ini.

Ini sekali gus akan mampu menarik perhatian pelabur-pelabur untuk melabur di negeri ini. Selain itu katanya, pembangunan sektor pelancongan di negeri itu juga dijangka lebih rancak.

Sumber: Utusan Malaysia | Dalam Negeri | 2 Ogos 2014 | Terbitan 3 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment