Wednesday, April 12, 2017

Aliran trafik penerbangan di KLIA meningkat

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang yang dikendali oleh MAHB, mencatat peningkatan aliran trafik penumpang bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
KUALA LUMPUR: Aliran trafik penerbangan yang dikeluarkan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mencatat peningkatan bagi penerbangan antarabangsa dan domestik.

Menurut MAHB, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, penumpang untuk penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat 12.6 peratus daripada 8.96 juta kepada 10.09 juta.

Katanya, bagi penerbangan domestik di KLIA pula, ia meningkat 13.1 peratus daripada 3.55 juta kepada 4.02 juta penumpang.

“Selain itu, di lapangan terbang domestik yang lain di Malaysia, aliran trafik juga menyaksikan pertumbuhan yang besar,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini semalam.

Penumpang bagi penerbangan antarabangsa di lapangan terbang domestik selain KLIA meningkat 8.4 peratus daripada 1.48 juta kepada 1.61 juta, manakala aliran trafik domestik menyaksikan peningkatan 6.9 peratus.

Secara keseluruhan, penum­pang trafik untuk tiga bulan pertama tahun ini di Malaysia meningkat 10.5 peratus kepada 23.39 juta daripada 21.17 juta pada 2016.

Peningkatan terbesar penum­pang adalah daripada penerbangan antarabangsa bukan ASEAN yang disasarkan dengan pengunjung mungkin tinggal lebih lama dan pelancong yang berbelanja tinggi.

Jelas MAHB, dalam tempoh tiga bulan pertama 2017 juga, penumpang penerbangan antarabangsa bukan ASEAN di KLIA meningkat 12.7 peratus kepada 5.4 juta daripada 4.79 juta.

“Di lapangan terbang lain selain KLIA, peningkatan adalah lebih besar. Penumpang pe­nerbangan antarabangsa bukan ASEAN meningkat 31.2 peratus daripada 524,000 orang kepada 688,000 orang ekoran penerba­ngan terus daripada destinasi antarabangsa ke lapangan terbang domestik seperti Kota Kinabalu dan Pulau Pinang,” katanya.

Menurut MAHB, berdasarkan arah aliran (trend) pertumbuhan semasa, pihaknya optimis lapangan terbang di Malaysia mampu menca­tat kadar pertumbuhan melebihi sasaran 6.5 peratus yang ditetapkan untuk 2017.

Pada tahun lalu, Malaysia menyambut 26.76 juta pelancong terutama dari Singapura, Indonesia, China, Brunei dan Thailand manakala pada tahun ini, kerajaan menyasarkan peningkatan 15 peratus kepada 31 juta pelancong.

Aliran trafik penerbangan yang direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama ini secara tidak langsung menunjukkan sasaran itu boleh dicapai. Dalam masa sama, ia juga menunjukkan di sebalik propaganda negatif me­ngenai ekonomi negara yang tidak baik, ia masih mencatat peningkatan perjalanan udara bagi rak­­yat Malaysia.
 
Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 11 April 2017 | Terbitan 12 April 2017

No comments:

Post a Comment