Saturday, September 1, 2018

Perluasan LTAL akan lonjakkan pertumbuhan penumpang Langkawi - MAHB

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), Pulau Langkawi, Kedah.
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yakin perluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) akan melancarkan lagi pertumbuhan penumpangnya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata MAHB telah menerima lebih banyak minat daripada syarikat penerbangan asing untuk beroperasi di LTAL.

“Pada 2017, LTAL mencatatkan 2.7 juta pergerakan trafik penumpang dengan peningkatan sebanyak 14.6 peratus bagi penumpang antarabangsa.

“Bagi tahun ini setakat Jun, pergerakan trafik penumpang antarabangsa meningkat sebanyak 23.9 peratus dari tempoh yang sama 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peluasan LTAL telah selesai dan lapangan terbang itu dibuka untuk operasi mulai hari ini pada 6 pagi tadi.

Projek perluasan yang bermula pada Oktober 2017 telah meningkatkan kapasiti lapangan terbang itu daripada 1.5 juta penumpang setahun kepada 4.0 juta penumpang setahun.

Raja Azmi berkata, pada masa ini, terdapat enam syarikat penerbangan beroperasi dari LTAL ke empat destinasi domestik dan lima destinasi antarabangsa dengan kekerapan mingguan terkumpul sebanyak 238 penerbangan.

Beliau berkata, LTAL akan berkedudukan lebih baik untuk menyokong pertumbuhan Langkawi sebagai destinasi pelancongan popular serta berperanan menjadi pemangkin lebih besar kepada pembangunan ekonominya.

“Secara keseluruhan, ia juga akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab global pilihan,” katanya.

Projek perluasan itu meningkatkan luas lantai kasar keseluruhan bangunan terminal daripada 15,000 meter persegi kepada 23,000 meter persegi sekali gus menjadikan tahap keselesaan bagi setiap penumpang adalah 22 meter persegi.

Di samping itu, kemudahan terminal juga telah ditambah baik untuk mengurangkan kesesakan selain mempertingkat kecekapan operasi.

Sumber: Bernama | 1 September 2018

No comments:

Post a Comment