Thursday, September 27, 2018

Projek pembesaran LTSIP bermula tahun 2020

Kamarudin mengendalikan jengkaut sebagai gimik pecah tanah pembinaan depoh di Stesen Kereta Api Tumpat.
TUMPAT: Projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa yang tertangguh sebelum ini akan bermula pada 2020.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dengan peruntukan diluluskan sebanyak RM500 juta.

“Semua maklum LTSIP sangat sesak, tahun ini sahaja jumlah penumpang melebihi 2 juta. Kita bantu rakyat Kelantan agar dapat kemudahan pengangkutan sama ada perkhidmatan penerbangan, rel (kereta api) mahu pun jalan raya.

“Ini pengiktirafan kerajaan kepada negeri ini, pembangunan kemudahan infrastruktur di Kelantan diambil berat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Depoh dan Naik Taraf Bangunan Stesen Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tumpat, di bandar Tumpat, hari ini.

Kamarudin berkata, pembesaran LTSIP tidak melibatkan pengambilan tanah penduduk walaupun beberapa penambahbaikan dilakukan.

“Pembesaran LTSIP ini mampu menampung 4 juta penumpang setahun. Bangunan terminal nanti mempunyai dua tingkat untuk balai ketibaan dan perlepasan penumpang yang tentunya memberi keselesaan,” katanya.

Sebelum itu, Kamarudin melakukan gimik perasmian pecah tanah pembinaan depoh penyelenggaraan Kereta Api Diesel Multiple Unit (DMU) dan projek naik taraf bangunan Stesen Kereta Api Tumpat bernilai hampir RM24 juta.

Projek pembesaran LTSIP yang sepatutnya bermula Julai lalu adalah projek impak tinggi Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan kos RM483 juta yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi pembentangan Bajet 2018.

Sumber: Sinar Harian | 27 September 2018

No comments:

Post a Comment