Thursday, September 27, 2018

Projek naik taraf LTSIP bermula 2020

Kamarudin Jaffar melakukan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Menaik Taraf Stesen dan Bangunan Depoh di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tumpat, hari ini.
TUMPAT: Kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM500 juta.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, projek yang dijangka bermula pada 2020 itu akan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

Beliau berkata, perkara itu sekali gus menunjukkan komitmen serta pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan infrastruktur di negeri ini.

“Proses tender akan bermula tidak lama lagi kerana pembinaan dan pembesaran LTSIP dijangka siap pada 2023 yang mampu menampung seramai empat juta penumpang dalam masa setahun.

“Ini kerana, jumlah penumpang dijangka meningkat dengan jumlah yang pesat kerana tahun ini sahaja dianggarkan lebih dua juta penumpang menggunakan kemudahan lapangan terbang tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Menaik Taraf Stesen dan Bangunan Depoh di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tumpat, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengurus Besar Perolehan KTMB, Mohd. Hider Yusoff dan Pengurus Besar Pengurusan Projek KTMB, Ismail Said.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, kerajaan juga akan meneruskan projek menaik taraf stesen dan depoh KTMB serta pembinaan 13 set tren Diesel Multiple Units (DMU) melibatkan kos sebanyak RM403.8 juta.

“Projek ini termasuklah menaik taraf bangunan di stesen KTMB Tumpat seperti pembinaan kaunter tiket, aras platform sedia ada, pembinaan jejantas dan depoh penyelenggaraan DMU.

“Pembinaan tren DMU baharu pula amat penting bagi menampung kapasiti penumpang sedia ada seramai 1,500 orang setiap hari selain kadar tambang yang rendah menjadi pilihan pengguna menggunakan perkhidmatan KTMB,” jelasnya.

Sumber: Utusan Online | 27 September 2018

No comments:

Post a Comment