Sunday, May 1, 2016

Firefly diminta perkenal laluan Kota Bharu - Melaka

SYARIKAT penerbangan Firefly diharap dapat menyambung semula laluan Kota Bharu - Melaka (KBR-MKZ) yang telah digantung oleh syarikat penerbangan Malindo Air sejak Oktober tahun lepas. 

Hal ini kerana masih terdapat permintaan daripada anak Kelantan yang menetap di Bandar Raya Melaka dan utara Johor terutamanya dari daerah Muar dan Tangkak, serta pelancong dari Melaka dan utara Johor itu sendiri untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan terus ini. 

Buat permulaan, Firefly boleh menawarkan perkhidmatan penerbangan terus ini dengan kekerapan tiga kali seminggu terutamanya pada hari Ahad, Rabu, dan Jumaat. Hal ini kerana berdasarkan kaji selidik yang dijalankan laman Facebook Kota Bharu Bandar Raya Islam dan Facebook Laluan Penerbangan Kota Bharu - Melaka, ramai yang berharap agar syarikat penerbangan dapat menawarkan penerbangan pada hari Jumaat dan Ahad. 

Firefly merupakan syarikat penerbangan tempatan yang paling sesuai beroperasi bagi laluan ini dengan mengambil kira jumlah armada pesawat jenis ATR-nya, peranan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) sebagai hab sekundernya dengan menempatkan dua buat pesawat, dan juga mutu perkhidmatannya yang terbaik. 

Setakat ini, Firefly menawarkan penerbangan ke empat destinasi dari Kota Bharu, iaitu Kuala Lumpur (Subang), Pulau Pinang, Johor Bahru, dan Pulau Langkawi. Jika Firefly menambah satu lagi destinasinya dari Kota Bharu yakni ke Melaka, ia akan mengukuhkan lagi hab sekundernya di Kota Bharu. 

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Melaka boleh membantu Firefly atau mana-mana syarikat penerbangan yang berminat untuk beroperasi dari Lapangan Terbang Melaka (LTM) dengan memberikan beberapa insentif seperti menanggung caj pendaratan dan parkir pesawat di LTM, subsidi iklan dan promosi di seluruh negeri Melaka, dan sebagainya. 

Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com 

No comments:

Post a Comment