Tuesday, September 9, 2014

Malindo Air perkenal laluan Kuala Lumpur - Kota Bharu

Kempen promosi dan jualan tiket bagi laluan Kuala Lumpur - Kota Bharu telah bermula sejak 8 September 2014.
SYARIKAT penerbangan Malindo Airways (Malindo Air) akan memperkenal satu lagi laluan baharu, iaitu Kuala Lumpur (KUL) - Kota Bharu (KBR) mulai 26 Oktober 2014 (Ahad) dengan kekerapan sekali sehari, iaitu pada sebelah awal pagi. 

Penerbangan ini menggunakan pesawat jenis B737-900ER dengan kapasiti 192 tempat duduk, iaitu 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 180 tempat duduk kelas ekonomi. Penggunaan pesawat jenis B737-900ER menjadikan pesawat komersial terbesar yang dikendalikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) selain B737-800 (Malaysia Airlines) dan A320-200 (AirAsia) mulai 26 Oktober 2014 nanti.

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri yang mengambil penerbangan ke Jakarta dari Kuala Lumpur dengan Malindo Air baru-baru ini, pesawat B737-900ER milik Malindo Air cukup selesa dengan ruang yang lebih luas dan cukup santai jika dibandingkan dengan tempat duduk premium dan tempat duduk biasa di dalam penerbangan AirAsia.

Penerbangan OD2302 dari Terminal 2 (Terminal KLIA 2), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadualkan berlepas pada jam 07:00 dan dijadualkan tiba di LTSIP pada jam 07:55, manakala penerbangan OD2301 dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dijadualkan berlepas pada jam 08:30 dan dijadualkan tiba di KLIA pada jam 09:30. 

Malindo Air juga menggunakan kemudahan titi udara (aerobridge)  bukan sahaja di Terminal 2, KLIA tetapi juga di LTSIP untuk keselesaan penumpang tanpa mengenakan caj tambahan ke atas penumpang dan tidak seperti AirAsia yang mengenakan caj tambahan sebanyak RM3.00 bagi yuran KLIA 2 (KLIA 2 fees) bagi setiap penumpang yang berlepas dari Terminal 2, KLIA.

Pada ketika ini Malindo Air ada menawarkan perkhidmatan penerbangan terus dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur (Subang) dan Pulau Pinang serta sebaliknya. Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket secara dalam talian, sila layari laman sesawang www.malindoair.com.

MALINDO AIRWAYS | MALINDO AIR | B737-900ER |  TERMINAL 2 KLIA | 26 OKTOBER 2014 | TITI UDARA | KUALA LUMPUR - KOTA BHARU | KUALA LUMPUR (SUBANG) - KOTA BHARU | PULAU PINANG - KOTA BHARU | KOTA BHARU GERBANG PANTAI TIMUR

No comments:

Post a Comment