Wednesday, September 3, 2014

Kolumnis: KB perlu peningkatan, Kulim pula mahu lapangan terbang

RAMAI politikus kemaruk kuasa kerana kuasa boleh menjadikan mereka kaya-raya justeru guling-mengguling dalam parti dan kerajaan biasa.

Apa lagi apabila kerakusan menyerang atau assault seseorang terutama jika orang itu “political animal” yakni dia sebagai bandingan sahaja, seekor anjing kurus lapar.

Dalam politik, perang dan percintaan semuanya “halal”  maka janganlah, tegas Speaking, “take offence” jika seorang itu disifatkan “political animal” atau anjing lapar.

Sebenarnya, seorang political animal harus berbangga kerana itu pengakuan daripada musuh dan lawan “grudging admiration”. Apa pun anggaplah gelaran itu sebagai metafor sahaja.

Tidak kelainan political animal wujud di mana sahaja: di Pulau Pinang, Putrajaya, Kota Bharu, Shah Alam, Kuching, Kota Kinabalu hatta di Kangar pun. Yang membezakan hanya tahap atau darjah kegelojohan mereka.

Sungguhpun saya sudah 24 tahun tidak wakil rakyat dan ketua bahagian Umno sejak 1996, saya selalu pulang ke kampung dan ke bekas kawasan parlimen saya iaitu Machang dan Kok Lanas yang di timurnya hingga ke Bukit Yong sempadan Kelantan - Terengganu, ke hulu hingga ke Temangan dan Batu 30, sempadan Ketereh - Kadok di hilir dan ke barat sepanjang tebing sungai Kelantan antara Kampung Tokong ke Kusial.

Banyak perubahan dan kemajuan fizikal telah berlaku, baik dan kurang baik. Pemikiran penduduk  telah  maju ke depan, progresif tetapi majoriti masih konservatif dalam pendekatan mereka.

Apa pun perhati Speaking, "they have done quite well though there is room for improvement”. Lazimnya saya pulang melalui udara (MAS kerana saya frequent traveller), jarang sangat melalui kereta kecuali saya mahu singgah di Gua Musang makan ikan sungai segar khusus ikan jelawat.

Satu lagi sebab saya kurang naik mobil terlalu lama masa perjalanan antara enam tujuh jam kalau ikut undang-undang, lebih kurang sama dengan masa ke Makkah melalui kapal terbang! Dengar cerita dari kawan dan waris yang pulang berhari raya ke kampung tahun ini, perjalanan makan masa antara  16 dan 17 jam - 5 jam lama dari Kuala Lumpur ke Heathrow!

Trafik di jalan raya amat teruk di antara Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Kok Lanas ke Kota Bharu sama ada via jalan Pangkal Gong ke Kota atau Pulai Chondong ke Kok Lanas dan Wakaf Che Yeh.

Atau jalan Kok Lanas ke Kota Bharu melalui Selising. Traffic jam, chaos dan machet akan terus berlarutan  makin buruk tahun demi tahun kecuali highway enam atau lapan lanes/lorong dibina sama ada oleh kerajaan pusat atau negeri.

Saya tidak kisah siapa tetapi yang mampu berbuat demikian segera adalah Putrajaya. Kenapa orang Kelantan  termasuk penyokong Umno terus didera?

Kewajipan utama kerajaan di Putrajaya membuktikan pembangunan dinikmati semua rakyat, kekayaan negara diagih dengan adil di seluruh wilayah dan mengikut keperluan geopolitik.

Dari segi kegiatan bisnes, pelancongan dan kegunaan - tidak payah kira potensinya - Kota Bharu, suka duka, lebih jauh di depan Alor Setar, Kuala Terengganu juga Kuantan ketika ini. Saya tidak envy atau iri hati pada lapangan terbang di ibu kota Kedah, Terengganu dan Pahang. Saya mahu ketiga-tiga lapangan terbang ini lebih hebat dan canggih lagi.

Saya hanya minta treatment yang sama diberi kepada ibu negeri Kelantan. Mengikut statistik pada 2012 seramai 1,259,205 penumpang telah menggunakan lapangan terbang Pengkalan Chepa (Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra). Dan pada akhir tahun ini atau selewatnya tahun depan dijangka 1.5 milion penumpang akan melalui Pengkalan Chepa.

Lapangan terbang Alor Setar (Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim) dua tahun lepas merekodkan hanya sebanyak 433,644 penumpang sahaja.

Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di Kuantan mencatat hanya 280,074 penumpang sepanjang tahun 2012. Sila lihat laman web http://www.malaysiaairports.com.my/. Jelas Pengkalan Chepa lebih ramai ketibaan dan pelepasan, lagipun Pengkalan Chepa menguruskan 31 penerbangan MAS, AirAsia, Firefly dan Malindo setiap hari.

Nyata lapangan terbang Pengkalan Chepa tersibuk di timur Semenanjung. Saya harap Kerajaan “1 Malaysia” Najib Tun Razak akan mengambil kira situasi ini dan melakukan apa yang wajar agar keadilan dan “business sense” kelihatan wujud.

Kalaupun hendak mengadakan lapangan terbang antarabangsa di Kulim saya setuju, pembesaran lapangan terbang di Bayan Lepas pun bisa.

Tidak rugi membesarkan lapangan terbang lama dan mengadakan yang baharu kerana satu hari kita terpaksa berbuat demikian berdasarkan pada speed kemajuan dan pembangunan yang sedang dan akan berlaku dalam dekad akan datang.

Impak membina Kulim  International Airport (KIA) besar pada pertumbuhan ekonomi di utara Semenanjung dan selatan Thailand.

Boleh diterima juga hujah kesesakan trafik di Bayan Lepas, ketiadaan perkhidmatan kargo di situ telah menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencadangkan pembinaan KIA yang akan membuka banyak peluang pekerjaan di Kedah, juga KIA akan menjadi tarikan pelabur asing untuk beroperasi di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

Pada umumnya, hobi majoriti orang Kelantan bola sepak, hiburan, makan minum, naik haji dan umrah, menziarahi Baitulmuqaddis, Istanbul, Kaherah, juga Eropah, Amerika, Golok dan Hatyai! Tidak kurang pula yang berani berpoligami! Kerana kegilaan orang Kelantan pada bola sepak negeri itu memerlukan stadium baharu kerana Stadium Sultan Mohammad IV di tengah pusat bandar Kota Bharu kecil dan tidak muat ramai, apatah lagi kalau Kelantan bermain dengan Terengganu!

Justeru wajar stadium itu dipindah dan tempat yang dikosongkan dijadikan Central Park atau Hyde Park Kota Bharu. Kota Bharu kini tidak ada satu park atau dataran yang boleh dibanggakan.

Orang Kota Bharu dan rakyat Kelantan deserve sebuah  taman dan dataran yang boleh mereka bersantai dan bersiar serta makan angin. Stadium baharu boleh dibina sama ada di Sungai Bagan, Selising, Labok atau Kok Lanas.

Pada saya tiada risiko melaksanakan apa yang diperlukan di Kelantan, juga di Kedah mahupun di Pulau Pinang.

Seperti ditegaskan oleh Speaking: “unconstrained politicking could create adverse circumstances that both sides would suffer” -  politiking keterlaluan merugikan kedua belah. Rakyat dan negara khususnya di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang menanggung kerugian.

Saya baru balik dari Pulau Pinang. Lapangan terbang Bayan Lepas memang sibuk juga trafik dalam bandar raya George Town ke Batu Feringhi walaupun tidak seburuk seperti di Kuala Lumpur.

Trafik dalam bandar Kota Bharu teruk. Mengambil bagasi di lapangan terbang Pengkalan Chepa adakala masa menunggu lebih lama dari di Heathrow!

Saya diberitahu tidak cukup handlers dan masih menggunakan manual! Alor Setar? No problem! Sunyi dan sepi terutama di lapangan terbang dan dalam bandar trafik lengang berbanding dengan Kota Bharu dan George Town.

Sumber: Sinar Harian | Kolumnis | Oleh Tan Sri Abdullah Ahmad | 17 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment