Wednesday, June 17, 2015

Fly Mojo dan Borneo Air dijangka peroleh AOC tidak lama lagi, Rayani Air tiada dalam senarai

Senarai pemegang ASL dan perkhidmatan yang ditawarkan. Sumber: Kementerian Pengangkutan Malaysia
SYARIKAT penerbangan Fly Mojo yang diumumkan penubuhannya pada Mac lepas secara prinsipnya telah memperoleh Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) daripada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan begitu juga syarikat penerbangan Borneo Air. 

Kedua-dua syarikat penerbangan baharu ini sedang menjalani audit teknikal untuk mendapatkan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) juga daripada DCA sebelum kedua-duanya dapat beroperasi secara rasmi termasuk dapat memulakan penjualan tiket penerbangan. 

Namun begitu, syarikat penerbangan Rayani Air yang sebelum ini bercita-cita tinggi untuk menjadi pemain industri penerbangan tidak ada dalam senarai.

Perkara ini amat menghairankan orang ramai kerana selama ini Rayani Air sibuk mempromosikan bahawa mereka akan menawarkan perkhidmatan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Melaka (LTM), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA), dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) melibatkan banyak destinasi domestik dan antarabangsa sejak pertengahan tahun lepas lagi dengan kempen 'coming soon' (akan datang).  

Terdapat lapan syarikat penerbangan yang memegang sijil ASL setakat ini, iaitu Malaysia Airlines (MAS) & MASkargo, AirAsia, AirAsia X, Malindo Air, Firefly, Raya Airways, MASwings, dan Berjaya Air.

Semakan melalui senarai pemegang lesen Permit Perkhidmatan Udara (ASP) pula juga mendapati Rayani Air juga tidak ada dalam senarai. 

Secara umumnya terdapat terdapat 22 syarikat penerbangan yang memegang lesen ASP di Malaysia. ASP merupakan lesen bagi perkhidmatan penerbangan tidak berjadual. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Kementerian Pengangkutan Malaysia, iaitu www.mot.gov.my.

No comments:

Post a Comment