Thursday, June 4, 2015

Malindo Air berminat tambah laluan penerbangan dari Melaka - Idris Haron

MELAKA: Syarikat penerbangan Malindo Air melahirkan minat untuk menambah laluan penerbangan di Lapangan Terbang Melaka (LTM), kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata syarikat itu berminat menambah laluan ke dua bandar di kawasan Semenanjung Malaysia dan dua lagi bandar di kawasan Sumatera, Indonesia.

"Perbincangan kerajaan negeri (Melaka) bersama mereka amat positif dalam menambah laluan penerbangan ini, Batam dan Medan adalah antara bandar yang disebut-sebut berpotensi untuk menjadi laluan seterusnya.

"Saya juga melihat Singapura sebagai satu lagi bandar berpotensi kerana kita terima ramai pelancong dari sana, dengan adanya penerbangan ini memudahkan pelancong datang ke Melaka tanpa melalui laluan darat yang terdedah kepada kesesakan trafik selain menjimatkan masa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri, di sini, Rabu.

Pada masa ini Malindo Air mengendalikan tiga laluan penerbangan dari LTM di Batu Berendam di sini iaitu ke Kota Bharu, Kelantan; Pulau Pinang; dan Pekan Baru di Sumatera, Indonesia.

Idris berkata walaupun hanya mula beroperasi di LTM pada November tahun lepas, Malindo Air mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila berjaya mengisi antara 70 hingga 100 peratus tempat duduk pesawatnya.

"Apabila tiba musim cuti bilangan yang menggunakan perkhidmatan ini agak tinggi, di sini kita lihat betapa berkesan penerbangan ini untuk kedatangan pelancong ke negeri ini," katanya.

Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri telah mengambil keputusan membenarkan kenaikan maksimum hanya 30 peratus bagi cukai taksiran di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di sini.

"Keputusan ini dibuat setelah diambil kira pelbagai faktor termasuk faktor situasi semasa rakyat sendiri, kenaikan ini akan mula berkuat kuasa bulan depan," katanya.

Kenaikan cukai taksiran di kawasan pentadbiran MPHTJ menjadi isu hangat apabila MPHTJ bercadang mengenakan kenaikan terlalu tinggi sehingga 3,000 peratus di beberapa kawasan pentadbiran itu.

Sumber: Bernama | 3 Jun 2015

No comments:

Post a Comment