GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng kesal apabila Pulau Pinang seolah-olah dipinggirkan dalam Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.
Menurutnya, Pulau Pinang tidak mendapat sebarang peruntukan meskipun sudah menyumbang RM6.5 bilion menerusi pembayaran cukai.
"Sebelum ini, sekurang-kurangnya kerajaan negeri menerima dua peratus bayaran balik daripada peruntukan keseluruhan.
"Namun untuk bajet kali ini, Pulau Pinang langsung tidak mendapat apa-apa pun berbanding negeri-negeri lain, sekurang-kurangnya mendapat satu atau dua peruntukan,” katanya pada sidang media, di pejabatnya di sini, semalam.
Beliau berkata, tindakan kerajaan pusat jelas mendiskriminasikan kerajaan negeri dan juga hak rakyat Pulau Pinang.
"Sekurang-kurangnya beri peruntukan tambah baik pengangkutan awam seperti bas. Perdana Menteri pernah janji sebanyak tiga kali untuk membina LRT di Pulau Pinang, pun masih tidak ditunaikan sehingga hari ini.
“Kerajaan negeri amat kesal, ini adalah satu diskriminasi yang tidak memberi keadilan dan menghormati perlembagaan kerana Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Malaysia tetapi pembangunannya dipinggirkan," katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri Melaka mendapat pelaburan untuk memperbesarkan Lapang Terbang Melaka, sungguhpun hanya ada cuma lima hingga enam kapal terbang sahaja.
"Berbanding di Pulau Pinang lebih daripada kapasiti tetapi tidak ada rancangan pembangunan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). Ini adalah sesuatu yang tidak adil,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | 25 Okt. 2015
No comments:
Post a Comment