Friday, October 30, 2015

Laluan Kota Bharu - Pulau Langkawi: Firefly sasar 300 penumpang seminggu

Ignatius (kiri) menyampaikan replika pesawat kepada Mukhriz simbolik perasmian penerbangan pertama Firefly dari Kota Bharu terus ke Langkawi, disaksikan Khalid.
SYARIKAT penerbangan tambang murah, FlyFirefly Sdn Bhd (Firefly) menyasarkan sejumlah 300 penumpang seminggu bagi penerbangan terus antara Kota Bharu dan Langkawi dengan harga tiket serendah RM49 bermula 27 Oktober hingga 1 November nanti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ignatius Ong berkata, angka itu dijangka meningkat ketika waktu kemuncak seperti musim perayaan dan cuti sekolah.

Beliau berkata, buat permulaan, Firefly memperkenalkan perkhidmatan berkenaan sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada Selasa, Khamis dan Sabtu serta tawaran itu mungkin meningkat kepada penerbangan setiap hari bergantung maklum balas positif penumpang kapal terbang tersebut.

“Penerbangan ini yang ketiga dari atau ke Langkawi selepas penerbangan dari Subang dan Pulau Pinang, manakala yang keempat untuk Kelantan, selepas Subang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Kami di Firefly bekerja keras untuk mencapai kejayaan ini sebagai kemudahan kepada orang ramai,” katanya pada Majlis Perasmian di Dewan Anggerik, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Ketibaan penerbangan julung kali selama satu jam 20 minit itu, disambut meriah dan dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di samping kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Tan Sri Khalid Ramli dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Kelantan, Datuk Hassan Mahmood.

Menurutnya, laluan penerbangan itu lebih kepada ‘jambatan’ menghubungkan Langkawi dengan pantai timur Semenanjung Malaysia dan memudahkan penduduk terutamanya di negeri Cik Siti Wan Kembang ke Langkawi.

Rakyat di Kelantan dengan mudah dapat berkunjung ke pulau ini bagi menikmati pemandangan indah pantai tidak dicemari serta membeli-belah barangan bebas cukai yang ada di sini (Langkawi).

Rakyat di Langkawi juga lebih mudah merasai dan menikmati keunikan budaya serta makanan di Kelantan,” katanya. Sementara itu, Mukhriz berkata, langkah Firefly tepat pada waktu menjelang Tahun Melawat Kedah 2016 yang akan dilancarkan dua bulan dari sekarang.

“Langkah ini wajar jadi contoh kepada syarikat penerbangan lain meningkatkan jumlah pelancong domestik,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Bisnes | 29 Okt. 2015

No comments:

Post a Comment