JOHOR BAHRU: AirAsia Bhd. (AirAsia) memperkenalkan perkhidmatan penerbangan antarabangsa terbaharu Guangzhou, China-Johor Bahru dan Johor Bahru-Guangzhou di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini mulai hari ini.
Penerbangan sulung dimulakan dari Guangzhou yang tiba di LTAS pada 6.50 pagi tadi disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.
AirAsia menawarkan penerbangan harian Guangzhou - Johor Bahru dengan jadual penerbangan Johor Bahru - Guangzhou pukul 10 malam dan Guangzhou - Johor Bahru dari Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun pada 3 pagi.
Bagi meraikan pengenalan laluan baharu itu, AirAsia menawarkan promosi tambang dari serendah RM179 sehala mulai hari ini hingga 12 Jun untuk tempoh perjalanan dari 31 Mei hingga 24 November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar berkata, dengan pengenalan laluan itu, pihaknya komited untuk mengembangkan hab selatan mereka dan akan memperkukuhkan kerjasama dengan pihak LTAS.
"Kami juga komited meningkatkan lagi ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa ke Johor Bahru sekali gus memperkukuhkan penguasaan pasaran di hab selatan kami," katanya dalam satu kenyataan.
Sumber: Utusan Online | 30 Mei 2016
No comments:
Post a Comment