KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) diminta menimbangkan semula cadangan projek pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan yang hanya melibatkan pemanjangan 100 meter (m) sahaja daripada 2,400 m kepada 2,500 m.
Menurut MOT, pemanjangan landasan kepada 2,500 m tersebut adalah untuk menampung semua jenis pesawat kod 4C tanpa sebarang had muatan. Antara jenis-jenis pesawat yang dikategorikan di bawah kod 4C ialah A320-200, B737-400, B737-800, dan yang terbesar sekali B737-900ER.
Syarikat penerbangan AirAsia yang beroperasi di LTSIP menggunakan pesawat jenis A320-200 dengan 180 tempat duduk, manakala Malaysia Airlines (MAS) beroperasi dengan pesawat jenis B737-800 dengan 166 tempat duduk. Sementara itu, Malindo Air yang pernah beroperasi bagi laluan Kota Bharu - Kuala Lumpur menggunakan pesawat jenis B737-800 dan B737-900ER.
Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11: 2016 - 2020) yang dijangka bermula pada separuh kedua tahun 2016 ini sepatutnya turut mengambil kira keperluan untuk mengendalikan pesawat berbadan lebar di bawah kod 4E seperti A330-300, B777-200ER, A350-900, dan B747-400 yang memerlukan landasan yang lebih panjang.
Hal ini kerana terdapat keperluan untuk menerbangkan jemaah haji dari Kelantan terus ke Jeddah dan Madinah tanpa transit melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lebih-lebih lagi setiap tahun jemaah haji dari Kelantanlah yang paling ramai berbanding dua lagi negeri di Pantai Timur.
Usaha untuk mengadakan penerbangan haji terus dari LTSIP ke Jeddah dan Madinah perlu menjadi agenda Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri Kelantan demi kepentingan umat Islam negeri ini.
Dalam pada itu, pada musim-musim perayaan terutamanya Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, MAS boleh menimbang untuk menggunakan pesawat berbadan lebar terutamanya A330-300 bagi laluan Kuala lumpur - Kota Bharu sebagai penerbangan tambahan.
Untuk tujuan tersebut, sebuah laman kempen sokongan telah dilancarkan untuk menggesa Kerajaan Persekutuan supaya dapat memanjangkan landasan LTSIP kepada 3,500 m melalui laman sesawang www.facebook.com/landasan3500m.
Oleh itu, Kerajaan Persekutuan diharap dapat memanjangkan landasan LTSIP daripada 2,400 m kepada 3,500 m untuk membolehkan LTSIP mengendalikan pesawat berbadan lebar tanpa had muatan.
Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com
No comments:
Post a Comment