Thursday, August 4, 2016

Firefly anjur lebih banyak kempen jualan

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong (dua, kanan) dan Pengurus Besar BonusLink, Victor Goon (dua, kiri) bersama pemenang utama, Pauline Teh Teng Hoon (tengah) bergaya dengan kereta Peugeot 408 yang dimenanginya dan 100,000 mata BonusLink pada majlis penyampaian hadiah 'Fly Firefly & Be Rewarded di Terminal Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
SUBANG: FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly), yang menjangka pertumbuhan penumpang pada tahun ini tidak berubah, akan menggalakkan permintaan dengan menganjur lebih banyak kempen jualan, mengurangkan kekerapan beberapa laluan dan mewujudkan lebih banyak laluan yang mencatat keuntungan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ignatius Ong berkata faktor muatan syarikat penerbangan itu pada purata antara 65 peratus dan 75 peratus dari Januari hingga Julai.

"Kami kini dalam usaha memantapkan laluan dan akan meneliti laluan untuk memastikan destinasi bagi penerbangan kami adalah yang benar-benar orang ramai mahukan," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah 'Fly Firefly & Be Rewarded Contest' secara kerjasama dengan BonusLink.

Walaupun tiada pengurangan laluan atau pengenalan laluan baharu pada tahun ini, katanya Firefly akan mengurangkan kekerapan destinasi yang tidak mencatat keuntungan.

"Bagi laluan yang mencatat prestasi baik seperti Pulau Pinang, Alor Setar, Kota Bharu dan Johor, kami berminat untuk membangunkan lagi laluan ini, jika boleh.

"Kami perlu memastikan bahawa kami melaksanakannya dengan baik berikutan sentimen pengguna yang lemah," katanya, sambil menambah laluan bagi penerbangan Kota Bharu - Langkawi tidak ditawarkan disebabkan kekurangan permintaan yang mampan.

Firefly, mengunjurkan permintaan yang rendah pada tahun ini, menjangka membawa 2.3 juta penumpang pada tahun ini, sama seperti pada 2015, terutamanya disebabkan penyusutan ringgit dan kuasa beli orang ramai.

Bagi mengurangkan kesannya, Firefly merancang untuk menggalakkan permintaan dengan menganjurkan satu lagi kempen jualan dalam tempoh dua minggu dan menjalin kerjasama pintar dengan syarikat seperti BonusLink.

Susulan permintaan yang kurang memberangsangkan, Firefly turut menangguhkan untuk menerima penghantaran pesawat yang dibeli daripada ATR, pengeluar pesawat Perancis-Itali.

"Kami telah berbincang dengan ATR dan apa sahaja yang kami tempah daripada mereka ditangguhkan untuk sementara waktu.

"Sama ada penghantaran akan dibuat pada tahun depan akan bergantung kepada prestasi pasaran pada tahun ini," katanya.

Firefly membeli 20 pesawat daripada ATR tiga tahun lepas, dan lapan daripadanya telah dibuat penghantaran.
 
Sumber: Bernama | 3 Ogos 2016

No comments:

Post a Comment