Thursday, August 4, 2016

MAHB cadang naik taraf LTSIP


Pengerusi MAHB, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (kiri) disaksikan Badlisham dan Pengarah Urusan Min House Camp, Wan Noriah Wan Ramli (dua kanan) merasmikan Program Sokongan Usahawan Desa Malaysia Airports.
KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa perlu dinaik taraf untuk menampung jumlah penumpang yang dijangka meningkat sehingga empat juta setahun.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali berkata, pihaknya kini menunggu keputusan kerajaan berhubung cadangan itu yang dijangka dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11, membabitkan RM500 juta.

"Ada keperluan untuk naik taraf LTSIP kerana kapasitinya yang memuatkan 1.5 juta penumpang setahun semakin meningkat melebihi dua juta setahun dan dijangka empat juta orang selepas ini.

"Ia juga membabitkan pendaratan lebih 70 kapal terbang sehari. Maka inilah masa sesuai untuk kita besarkan LTSIP.

"Perbincangan mengenainya juga sudah dibuat dengan kerajaan negeri serta Pusat sejak hujung tahun lalu lagi," katanya ketika ditemui selepas Program Sokongan Usahawan Desa (PSUD) di Min House Camp, Kubang Kerian di sini, hari ini.

Ghazali berkata, cadangan naik taraf itu termasuk meluaskan lagi terminal dan tempat letak kapal terbang daripada enam lot kepada 12 lot atau lebih, selain memanjangkan landasan.

Sama ada lapangan terbang itu dipersiapkan untuk berstatus antarabangsa, beliau berkata, perkara itu masih lagi dalam perbincangan lanjut bersama Kerajaan Pusat.

Sumber: Harian Metro | 3 Ogos 2016

No comments:

Post a Comment