Wednesday, August 3, 2016

LTSIP akan diperbesar bagi menampung 5 juta penumpang

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan.
KOTA BHARU: Terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini, akan diperbesarkan bagi menampung lima juta penumpang setahun.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) Datuk Badlisham Ghazali berkata pembesaran terminal itu sangat penting kerana bilangan penumpang sekarang lebih dua juta orang iaitu melebihi kapasitinya, 1.5 juta penumpang setahun.

"Setiap hari lebih kurang 70 kapal terbang berlepas dan mendarat di lapangan terbang ini, maka inilah masanya untuk membangunkan lagi lapangan terbang ini daripada kapasiti 1.5 juta orang penumpang kepada 5 juta orang penumpang," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Sokongan Usahawan Desa (PSUD) di Min House Camp, Kubang Kerian di sini, Rabu.

Perasmian program itu dirasmikan oleh Pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Badlisham ditanya perkembangan pelaksanaan projek pembesaran lapangan terbang itu yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Beliau berkata pihaknya telah memohon peruntukan RM500 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi projek pembesaran lapangan terbang itu yang kini masih di peringkat perancangan.

Sementara itu, Malaysia Airports menyumbang RM10,000 kepada Min House Camp yang memfokuskan bidang agro pelancongan, bagi mengembangkan perusahaan madu kelulut yang dilihat berpotensi menarik ramai pelancong dalam dan luar negara ke Kelantan.

Peruntukan itu juga bagi membantu perkampungan itu mewujudkan kemudahan lain seperti ruang bacaan dan galeri untuk faedah pengunjung.

Wan Abdul Aziz berkata selain menyokong industri usahawan desa, pihaknya juga melaksanakan pelbagai program bagi menggalakkan sektor pelancongan.

Sumber: Bernama | 3 Ogos 2016

No comments:

Post a Comment