Wednesday, December 30, 2009

13-03-2009: Cadang LTSIP jadi transit

ARKIB : 13/03/2009
Cadang LTSIP jadi transit
Oleh RAHANA MOHD DAHARI

KOTA BHARU 12 Mac - Kerajaan negeri akan meminta syarikat AirAsia menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini sebagai transit bagi penerbangan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, bagi membincangkan hasrat itu, pihaknya akan mengatur pertemuan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes.
Katanya, ia sebahagian usaha memanfaatkan perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah itu bagi meningkatkan kegiatan pelancongan domestik di samping memberi kemudahan kepada rakyat negeri ini yang berada di kedua-dua buah negeri.

''Rakyat Kelantan di Sabah sahaja mencecah beratus ribu orang dan jika perkhidmatan tersebut diperkenalkan, ia memudahkan orang Kelantan balik ke sini malah akan menambahkan jumlah kemasukan pelancong dari sana," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Di samping itu, katanya, kerajaan negeri masih berharap Kerajaan Pusat dapat menyegerakan projek memanjangkan landasan LTSIP bagi tujuan menaik tarafnya untuk menampung permintaan perkhidmatan penerbangan yang semakin tinggi di kalangan pengguna tempatan dan antarabangsa.

''Kerajaan negeri bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membolehkan projek tersebut dijalankan memandangkan LTSIP masih mempunyai tanah yang luas serta urusan pengambilan tanah juga telah selesai sejak tahun 1980-an lagi.

''LTSIP layak dinaik taraf kerana potensinya yang tinggi untuk menjadi hab pelancongan dan penerbangan antarabangsa secara terus tanpa perlu terlebih dahulu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan menyasarkan jumlah kemasukan pelancong ke negeri ini pada tahun ini sebanyak 4.5 juta iaitu menurun daripada tahun lepas sebanyak 4.9 juta ekoran kegawatan ekonomi dunia. ''Walaupun menurun, namun kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Pelancongan (MTP) negeri akan menyemarakkan program kesenian dan kebudayaan untuk menarik minat pelancong.

''Di samping itu, tahun ini pelancong luar dan tempatan akan lebih didedahkan dengan kawasan alam semulajadi dan kegiatan penduduk setempat kawasan selatan seperti di Kuala Krai," katanya. Beliau memberi contoh, terdapat industri membuat tembikar di satu kawasan di situ yang amat menarik dengan penggunaan tanah yang berkilat tetapi kurang promosi mengenainya.

SOURCE (Sumber): Utusan Malaysia (Wilayah Timur): 13-03-2009

No comments:

Post a Comment