Wednesday, December 30, 2009

04-11-2008: Kelantan minta landasan lapangan terbang dipanjangkan

ARKIB : 04/11/2008
Kelantan minta landasan lapangan terbang dipanjangkan

KOTA BHARU 3 Nov. - Kerajaan Pusat diminta supaya tidak terus menangguhkan cadangan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini daripada 1.98 kilometer kepada 2.4 kilometer.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Mejar (B) Anizam Abdul Rahman berkata, pemanjangan landasan yang mengikut spesifikasi antarabangsa itu amat penting bagi membolehkan pendaratan pesawat lebih besar termasuk Airbus A330 dan Boeing 777.

Katanya, ia sekali gus boleh menampung permintaan perkhidmatan penerbangan yang semakin tinggi di kalangan pengguna di negeri ini, di samping membantu merancakkan ekonomi negeri termasuk sektor pelancongan.

Menurut beliau, LTSIP memang layak dinaik taraf memandangkan potensinya yang tinggi untuk menjadi hab pelancongan dan penerbangan antarabangsa secara terus tanpa perlu terlebih dahulu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"LTSIP pada masa ini dalam sebulan mengendalikan sehingga 30,000 penumpang domestik dengan 25 kali perjalanan sehari. Berdasarkan kepada fakta ini, LTSIP memang perlu untuk dinaik taraf lebih awal.

"Lapangan terbang di Kuala Terengganu yang hanya mengendalikan enam perjalanan sehari sudah mempunyai landasan panjang yang juga diberikan kebenaran untuk penerbangan bagi jemaah haji," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anizam berkata, kerajaan negeri sedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membolehkan projek ini dijalankan memandangkan LTSIP masih mempunyai tanah yang luas dan urusan pengambilan tanah juga telah selesai sejak tahun 1980-an lagi.

Pada masa ini, ujarnya, LTSIP mempunyai Sistem Instrumen Pendaratan (ILS) yang membolehkan pesawat mendarat walaupun dalam keadaan cuaca buruk.

"LTSIP juga mempunyai akademi penerbangan swasta pertama di pantai timur dan ketiga di negara iaitu Akademi Latihan Penerbangan Asia Pasifik (APFT)," katanya.

Pada 27 Ogos 2006, Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan berkaitan projek berkenaan. Mustapa dilaporkan berkata, sebanyak RM70 juta diperuntukkan untuk projek tersebut dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

LTSIP telah mempunyai bangunan terminal baharu LTSIP seluas 12,000 meter persegi dengan kos kira-kira RM55 juta dan telah dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Sultan Ismail Petra pada 12 April 2004. Bangunan terminal baru yang antara termoden di Malaysia mampu mengendalikan 580 penumpang dalam tempoh sejam berbanding 130 orang di bangunan terminal lama yang hanya seluas 1,785 meter persegi.

SOURCE (Sumber): Utusan Malaysia (Wilayah Timur): 04-11-2008

No comments:

Post a Comment