Tuesday, December 29, 2009

21-07-2001: Dr. M tinjau projek terminal baharu Lapangan Terbang Pengkalan Chepa

ARKIB : 21/07/2001
Dr. M tinjau projek terminal baru Lapangan Terbang Pengkalan Chepa

KOTA BHARU 20 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini meninjau projek pembesaran terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa di sini.

Beliau meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk mendengar taklimat yang disampaikan Pengarah Urusan Malaysia Airports Berhad (MAB) Datuk Adnan Shamsuddin dan Pengurus Besar Bahagian Teknikal MAB, Aziz Mohd. Nor.

Tinjauan ke terminal itu merupakan sesi pertama lawatan kerja sehari beliau ke Kelantan sebaik sahaja tiba dengan pesawat khas pada pukul 8.50 pagi ini. Turut mengiringi lawatan hari ini ialah Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Upacara pecah tanah pembesaran terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra telah dilakukan oleh beliau sendiri pada 22 Julai 1999 sempena lawatan beliau ke negeri ini.

Terminal baharu itu dibina atas kawasan seluas 82,000 meter persegi dan mampu mengendalikan sehingga 580 penumpang pada waktu kemuncak untuk tempoh sehingga 2005.

Pengarah Urusan Syarikat Kubang Batang Puspasari Sdn. Bhd., syarikat yang bertanggungjawab melaksanakan pembesaran itu, Ahmad Rosdi Mahmad dalam taklimatnya pula berkata pembesaran itu menelan belanja RM48.5 juta.

Katanya, projek pembesaran itu yang bermula pada 25 Oktober 2000 telah 33 peratus siap iaitu mendahului dua peratus daripada jadual asal. Ia dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2002.

Dr. Mahathir berpuas hati dengan kelancaran pembinaan terminal tersebut iaitu dua peratus lebih awal daripada jadual sebenar.

Keistimewaan terminal yang mempunyai dua aras itu terletak pada reka bentuknya yang berkonsepkan geometri dengan mencerminkan budaya tempatan, tiga aerobridge dan tempat meletak pesawat yang boleh memuatkan lima pesawat sekali gus.

Ketibaan Dr. Mahathir pagi ini disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mustapha Mohamed, Pengerusi Barisan Nasional negeri, Datuk Annuar Musa, Ketua UMNO bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan ketua-ketua UMNO bahagian.

Dr. Mahathir turut meluangkan masa bergambar dengan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Pengkalan Chepa dan insan-insan kurang upaya dari Yayasan Pemulihan Orang-orang Cacat Kelantan serta ahli Persatuan Kelab Bumi Rahmat.

SOURCE (Sumber): Utusan Malaysia (Berita Utama): 21-07-2001

No comments:

Post a Comment