Saturday, December 19, 2015

Penerbangan sulung Rayani Air bermula 20 Dis 2015

Azharuddin Abdul Rahman (kiri) menyerahkan dokumen Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Pengendali Udara (AOC) kepada Jaafar Zamhari (dua dari kanan) sambil diperhatikan Ravi Alagendra (empat dari kanan), Kartiyani Govindan (tiga dari kanan) dan Sumar Lee Hashim Lee (kanan).
PUTRAJAYA: Walaupun ha­nya bermula dengan dua pesawat yang disewa untuk beroperasi di dua laluan, Rayani Air yang akan melancarkan penerbangan sulungnya pada Ahad ini mempunyai impian yang besar.

Syarikat penerbangan pematuhan syariah pertama di Malaysia itu akan memulakan penerbangan laluan Kuala Lumpur - Kota Bharu dan Kuala Lumpur - Langkawi pada Ahad ini menggunakan pesawat Boeing 737-400.

Pada tahun depan pula, Rayani Air mahu memulakan penerba­ngan merentasi Laut China Selatan ke Kota Kinabalu dan Kuching me­lalui tambahan dua pesawat Bo­eing 737-800.

Dengan menawarkan perkhidmatan penuh yang membezakan­nya dengan Malindo Air dan Air­Asia, Rayani Air juga bercadang melancarkan penerbangan ke Asia Barat dan China dalam tempoh kira-­kira 18 bulan.

Turut dirancang dalam rangkai­an penerbangan Rayani Air ialah destinasi serantau seperti Jakarta dan Manila selain destinasi yang lebih jauh termasuk India dan Australia.

Pengarah Urusan Rayani Air, Jaafar Zamhari berkata, perkhidmatan yang ditawarkan Rayani Air seperti Malaysia Airlines Berhad iaitu perkhidmatan penuh, berbeza dengan konsep hibrid oleh Malindo Air dan tambang murah oleh Air­Asia.

“Rayani Air menyediakan makanan dalam setiap penerbangan. Keistimewaan kami ialah makanan tambahan turut dijual atas pesawat secara add-ons sekiranya apa yang disediakan tidak mencukupi buat penumpang.

“Sebagai penerbangan pematuhan syariah, hanya makanan dan minuman halal disaji dan anak kapal wanita beragama Islam mesti berhijab. Pembacaan doa juga dilakukan sebelum pelepasan pesawat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman di sini hari ini.

Turut hadir Pengasas Rayani Air, Ravi Alagendra, Pengasas dan Pe­ngarah Kewangan, Datuk Kartiyani Govindan dan Pengarah Operasi, Kapten Sumar Lee Hashim Lee.

Rayani Air merupakan hasil usahasama dua perniagaan iaitu syarikat minyak dan gas, Merdeka Jayabumi Enterprise dan syarikat perlombongan, Terus Maju Metal.

Sumber: Bernama | 18 Dis. 2015

No comments:

Post a Comment