Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu. |
Setakat ini, LTSIP mempunyai tujuh laluan penerbangan domestik termasuk laluan ke Malaysia Timur, iaitu Kuala Lumpur, Subang Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pulau Langkawi, Johor Bahru, Kota Kinabalu, dan Kuching.
Cuma yang belum ada atau yang dapat dikekalkan adalah laluan antarabangsa. Sebelum ini syarikat penerbangan Firefly dan AirAsia ada menawarkan perkhidmatan penerbangan antarabangsa ke Singapura masing-masing dari Ogos 2012 sehingga Julai 2013 dan dari Mac sehingga Oktober 2014.
Walau perkhidmatan penerbangan antarabangsa ke Singapura tidak kekal lama, Kelantan masih memerlukan perkhidmatan penerbangan antarabangsa yang boleh ditawarkan oleh syarikat penerbangan tempatan terutamanya AirAsia, Malindo Air, dan Firefly.
Laluan Kota Bharu - Singapura misalnya boleh diperkenalkan semula dengan kekerapan tiga kali seminggu berbanding empat kali seminggu yang pernah ditawarkan syarikat penerbangan Firefly dan AirAsia sebelum ini. Dalam masa yang sama, usaha promosi yang agresif perlu dibuat oleh syarikat penerbangan dan juga Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) untuk menarik lebih ramai pelancong dari Singapura ke negeri Kelantan.
Laluan Kota Bharu - Bangkok pula boleh diperkenalkan dengan kekerapan empat kali seminggu dengan menyasarkan pelancong asing yang transit melalui Bangkok untuk ke Malaysia melalui Kelantan. Hubungan sejarah Kelantan - Thailand dan juga persamaan budaya kedua-dua tempat ini boleh menjadi tarikan pelancongan kedua-dua wilayah. Tambahan pula, ramai warga Kelantan yang mengambil penerbangan ke Bangkok melalui Lapangan Terbang Narathiwat yang terletak di Selatan Thailand.
Sementara itu, laluan Kota Bharu - Bandar Raya Ho Chi Minh pula pastinya akan memberi peluang kepada pelancong dari Kelantan, Terengganu, dan Narathiwat di Selatan Thailand untuk membeli-belah di bandar raya terbesar di Vietnam tersebut lebih-lebih lagi ia sememangnya terkenal sebagai bandar raya beli belah utama di Indochina yang menawarkan produk tempatan bermutu dengan harga yang berpatutan.
Laluan Kota Bharu - Singapura paling sesuai ditawarkan Firefly yang menggunakan pesawat berkipas jenis ATR72-500 dan ATR72-600 dengan 72 tempat duduk. Laluan ini juga sesuai ditawarkan AirAsia dengan kekerapan tiga kali seminggu menggunakan pesawat jenis A320-200 lebih-lebih lagi AirAsia mempunyai kemampuan dan reputasi tinggi untuk menarik lebih ramai penumpang antarabangsa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.
Laluan Kota Bharu - Bangkok dan Kota Bharu - Bandar Raya Ho Chi Minh pula amat sesuai ditawarkan syarikat penerbangan yang beroperasi dengan pesawat jet, iaitu AirAsia (dengan A320-200) dan Malindo Air (B737-800 dan B737-900ER).
Untuk segmen laluan domestik pula, laluan Kota Bharu - Tawau dan Kota Bharu - Miri mempunyai potensi untuk dirintis oleh syarikat penerbangan tempatan terutamanya AirAsia, manakala laluan Kota Bharu - Melaka mampu bertahan jika diperkenalkan semula dengan kekerapan tiga kali seminggu menggunakan pesawat berkipas jenis ATR72-500 dan ATR72-600 sama ada oleh Firefly mahupun Malindo Air.
Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.my
saya amat bersetuju
ReplyDeleteMohon kota bharu-sandakan-kota bhru dperkenalkan.....
ReplyDelete