Wednesday, December 30, 2009

13-04-2004: Landasan LTSIP dipanjangkan 2.4km

ARKIB : 13/04/2004
Landasan LTSIP dipanjangkan 2.4km

KOTA BHARU 12 April - Kerajaan Pusat akan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, di sini, daripada 1.98 kilometer kepada 2.4 kilometer bagi membolehkan pendaratan pesawat lebih besar termasuk Airbus A330 dan Boeing 777.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy berkata, ia yang membabitkan kos antara RM80 hingga RM100 juta akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang bermula pada tahun 2006.

``Langkah memanjangkan landasan ini akan membolehkan LTSIP dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa bagi menerima kemasukan pelancong asing secara terus ke sini tanpa perlu singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Bangunan Terminal Baharu LTSIP oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, di sini, hari ini.

Menurut Kong Choy, Kerajaan Pusat juga telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM6 juta bagi memasang Sistem Instrumen Pendaratan (ILS) pada tahun ini bagi membolehkan pesawat mendarat di LTSIP itu walaupun dalam keadaan cuaca buruk.

ILS ialah sejenis alat yang diletak di hujung landasan yang berfungsi membalikkan gelombang kepada pesawat untuk membolehkan sesebuah kapal terbang mendarat tepat di atas landasan.

Terdahulu dalam ucapannya, Kong Choy berkata, jumlah penumpang yang menggunakan LTSIP telah meningkat daripada 534,959 orang pada tahun 2002 kepada 589,950 orang pada tahun lalu.

``Peningkatan kira-kira 10.3 peratus ini adalah jumlah yang besar kerana lapangan terbang lain di Malaysia hanya meningkat dalam lingkungan antara 4.5 hingga 5.5 peratus sahaja,'' katanya.

Beliau berkata, bangunan terminal baharu ini juga adalah antara yang termoden di Malaysia dengan keluasan 12,000 meter persegi berbanding terminal lama yang hanya seluas 1,785 meter persegi.

``Bangunan terminal baharu ini yang mula digunakan pada September 2002 boleh mengendalikan 580 orang penumpang dalam tempoh sejam berbanding 130 orang sahaja di bangunan terminal lama,'' jelasnya.

SOURCE (Sumber): Utusan Malaysia (Dalam Negeri): 13-04-2004

No comments:

Post a Comment