Wednesday, December 30, 2009

Projek naik taraf landasan LTSIP diteruskan

KOTA BHARU 24 Nov. – Kementerian Pengangkutan akan meneruskan projek menaik taraf dan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini. Menterinya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, projek yang akan dilaksanakan tidak lama lagi itu bertujuan memberikan kemudahan kepada rakyat di negeri ini dan membuka peluang ekonomi yang baru terutama sektor pelancongan.

‘‘Saya akan umumkan butiran lengkapnya tidak lama lagi, projek ini dibuat atas tuntutan dan keperluan rakyat, bukannya melibatkan mana-mana parti politik. ‘‘Kementerian telah meluluskan peruntukannya tetapi perlu sedikit masa untuk menelitinya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan negeri meminta kerajaan Pusat supaya tidak terus menangguhkan cadangan memanjangkan landasan LTSIP Pengkalan Chepa di sini daripada 1.98 kilometer kepada 2.4 kilometer.

Pemanjangan landasan yang mengikut spesifikasi antarabangsa itu amat penting bagi membolehkan pendaratan pesawat lebih besar termasuk Airbus A330 dan Boeing 777. Difahamkan, LTSIP mengendalikan sehingga 30,000 penumpang domestik sebulan dengan 25 kali perjalanan sehari.

Pada 27 Ogos 2006, Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan berkaitan projek berkenaan. Mustapa dilaporkan berkata, sebanyak RM70 juta diperuntukkan untuk projek tersebut dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Tee Keat memberitahu, kementerian juga dalam usaha untuk menambah penerbangan awam yang melibatkan bandar itu ke sektor-sektor baru. Bagaimanapun, katanya lagi, cadangan itu memerlukan persetujuan daripada operator penerbangan terlebih dahulu. ‘‘Kalau dipersetujui akan bawa manfaat kepada rakyat, saya juga hendak pastikan syarikat mana yang minat, kalau tidak ada yang tunjuk minat susah juga.

SOURCE: Utusan Malaysia (Timur) | 25 November 2008 | 

1 comment:

  1. Bagus sangat lah tu. Nanti naiktaraf sampai status Lapangan Terbang Antarabangsa

    ReplyDelete