KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd. (AirAsia)
bakal memperkenalkan destinasi baharu iaitu Kota Bharu - Medan selaras
dengan usaha kumpulan untuk menjadikan bandar-bandar utama Malaysia
sebagai pusat penerbangan ASEAN.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Kamarudin Meranun (gambar) berkata, pengenalan
destinasi Kota Bharu - Medan itu akan bermula pada tahun depan.
Katanya, langkah itu bagi mengembangkan lagi operasi syarikat dan
meluaskan destinasi penerbangan di peringkat serantau menerusi utara
Semenanjung, selatan, pantai barat dan Malaysia Timur.
Katanya, selain Sepang, pihaknya mahu mewujudkan pusat penerbangan
ASEAN di Kota Bharu, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan
beberapa lagi.
"Kami dalam usaha untuk mencapai sasaran itu dan akan memperkenalkan
beberapa destinasi menerusi pusat-pusat penerbangan di seluruh negara,"
katanya. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tambah Kamarudin, pihaknya berharap dapat mengukuhkan perhubungan AirAsia dengan kerajaan. Malah, katanya, pihaknya sedia untuk bekerjasama dengan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) untuk saling berkongsi pengalaman.
"Ini merupakan masanya kami di AirAsia bekerjasama dengan pihak berkuasa (kerajaan). "Kerjasama ini seharusnya dibentuk sejak lama dahulu bagi menjadikan
Malaysia sebagai pusat penerbangan yang besar di rantau ini," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai pejabat AirAsia yang berpusat di Indonesia,
jelas Kamarudin, pihaknya hanya mempunyai pejabat sekretariat di
Indonesia yang memberi hubungan rangkaian yang lebih baik.
Katanya, tidak menjadi isu AirAsia mempunyai pejabat di Indonesia,
kerana Malaysia tetap mempunyai peranan penting di peringkat ASEAN.
Bercakap mengenai KLIA2 yang dijangka siap dan mula beroperasi Mei
tahun depan, Kamarudin berkata, pihaknya tidak mempunyai apa-apa
halangan dan akan berpindah mengikut tarikh yang ditetapkan.
Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 17 Nov. 2013
No comments:
Post a Comment