Monday, November 18, 2013

LTSIP layak mendapat status lapangan terbang antarabangsa

Aireen Omar menyampaikan cenderamata kepada Mohd Amar ketika Majlis Sambutan Penerbangan Sulung Kota Bharu - Kota Kinabalu pada 16 November 2013.
PENGKALAN CHEPA: Kerajaan Kelantan telah menghantar surat rasmi kepada Kerajaan Pusat untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini supaya boleh dinaik taraf sebagai  lapangan terbang antarabangsa.

Kerajaan negeri telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk menambah panjang landasan kapal terbang supaya kapal terbang yang lebih besar boleh mendarat dan menjadikan lapangan terbang Kota Bharu sebagai lapangan terbang antarbangsa,” kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis menyambut penerbangan pertama AirAsia untuk laluan Kota Bharu ke Kota Kinabalu. “Lapangan terbang Kuantan telah diluluskan untuk dinaik taraf kepada lapangan terbang antarabangsa.

“Tetapi sekiranya dibandingkan jumlah penerbangan antara lapangan terbang Kota Bharu dengan Kuantan lebih banyak di Kota Bharu,” ujarnya.

Menurut beliau, tiada sebab kenapa lapangan terbang Kota Bharu tidak boleh dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Majlis sambutan ketibaan penerbangan sulung dari Kota Kinabalu di LTSIP.
Sementara itu, Mohd Amar mengharapkan agar cadangan AirAsia untuk menjadikan Kota Bharu sebagai pintu masuk ke Pantai Timur Malaysia dari pelbagai destinasi dipercepatkan.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri mengalu-alukan keputusan AirAsia mewujudkan penerbangan lalulan Kota Bharu ke Kota Kinabalu.

“Ramai rakyat Kelantan yang berada di Sabah sama ada berlajar mahupun berkerja.  Dengan adanya pernerbangan terus ini akan memudahkan mereka bergerak dari Kelantan ke Sabah,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Bhd, Aireen Omar berkata, pihaknya sedang merancang menambah lagi destinasi penerbangan ke Kota Bharu. “Selain destinasi domestik, destinasi luar negara juga telah dikenal pasti bagi laluan ke Kota Bharu.

"Antaranya ialah laluan ke negara China,  Indonesia dan Australia. Kami bercadang untuk menjadikan Kota Bharu sebagai hab bukan hanya untuk penerbangan domestik tetapi juga antarabangsa," jelasnya lagi.

Menurut Aireen, AirAsia adalah satu-satunya syarikat penerbangan negara ini yang menghubungkan Malaysia Timur dengan Pantai Timur Semenanjung.

Sempena laluan baru penerbangan Kota Bharu ke Kota Kinabalu, AirAsia menawarkan promosi istimewa bagi laluan ini. Tambang serendah RM106 sehala ditawarkan sehingga 24 November ini bagi perjalanan dari 1 Disember 2013 hingga 30 April 2014.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Nor Aida Ismail dan Timbalan Exco, Ustaz Abdul Rahman Yunus.

Sumber: Harakah Daily | 18 Nov. 2013

No comments:

Post a Comment