Sunday, March 13, 2016

Projek pembesaran LTSIP siap 2019

Liow Tiong Lai ketika menghadiri majlis bersama komuniti MCA Kelantan di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU: Kerja-kerja menaik taraf dan membesarkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini yang menelan belanja kira-kira RM450 juta dijangka siap menjelang tahun 2019.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pembesaran terminal LTSIP itu sekali gus mampu menampung sebanyak empat juta penumpang berbanding sebelum ini hanya sekitar 1.5 juta.

Beliau berkata, selain itu, proses menaik taraf itu juga akan melibatkan kerja-kerja memanjangkan landasan kapal terbang daripada 2.4 kepada 2.5 kilometer.

“Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan meluluskan peruntukan untuk pembesaran LTSIP. Kita sedia maklum, sebelum ini penumpang terpaksa bersesak di lapangan terbang tersebut.

“Perkembangan itu membuktikan Kerajaan Pusat yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) sentiasa membawa pembangunan ke Kelantan meskipun negeri ini dikuasai pembangkang,” katanya kepada pembe­rita selepas majlis bersama komuniti MCA Kelantan, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) tahun lalu telah mengumumkan beberapa projek mega di Kelantan termasuk pembesaran LTSIP.

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, pada masa ini, pihaknya sedang dalam proses melantik konsultan sebelum menyerahkan kepada kontraktor yang layak untuk kerja-kerja menaik taraf lapangan terbang tersebut.

Selepas semua proses ini selesai, kerja-kerja pelaksanaannya akan mula dijalankan dan kita jangka lapangan terbang yang bakal berwajah baharu ini akan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, Kerajaan Pusat juga telah meluluskan peruntukan RM600 juta untuk kerja-kerja menaik taraf landasan kereta api di negeri ini.

“Kerja-kerja naik taraf ini akan melibatkan landasan kereta api bermula dari Gua Musang ke Tumpat. Sebelum ini, kita baiki landasan yang rosak akibat bencana bah kuning pada penghujung 2014,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 13 Mac 2016

No comments:

Post a Comment