Tiong Lai (duduk, tengah) pada majlis bersama komunuti MCA Kelantan, semalam. |
KOTA BHARU: Sebanyak RM450 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, pembesaran terminal lapangan terbang itu sangat penting kerana ia bakal menampung empat juta penumpang berbanding kini hanya 1.5 juta.
“Kerja naik taraf itu juga akan melibatkan pemanjangan landasan dan keseluruhannya dijangka siap tiga tahun lagi. Kini kita dalam proses melantik konsultan dan akan menyerahkannya kepada kontraktor yang layak untuk menguruskannya,” katanya.
Beliau hadir majlis bersama komuniti MCA negeri, di sini semalam.
Pada perkembangan sama, Tiong Lai juga memaklumkan sebanyak RM600 juta juga telah diperuntukkan kerajaan pusat untuk naik taraf landasan kereta api Gua Musang-Tumpat.
Menurutnya, ini membuktikan Kerajaan Persekutuan tidak pernah menganaktirikan Kelantan dan sentiasa mengambil berat perkembangan pembangunan negeri ini walaupun ia ditadbir pembangkang.
"Untuk landasan kereta api pula, ia sudah siap dibaiki dan akan lancarkan dalam masa terdekat untuk beri faedah kepada semua penduduk dan semua pelajar yang menjadikan kereta api sebagai pengangkutan mereka," katanya.
Dalam perkembangan lain, Tiong Lai yang juga Presiden MCA memberitahu, MCA Kelantan akan menumpukan perhatian kepada kerusi Kota Lama pada PRU akan datang.
Katanya, pelbagai persiapan tertelah dilakukan untuk mendekatkan parti dengan masyarakat.
“Ini sangat penting kerana kita mahu beri perkhidmatan terbaik kepada penduduk Kota Lama walaupun kita kalah pada PRU lalu,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Dari Terengganu & Kelantan | 13 Mac 2016
No comments:
Post a Comment