Friday, March 25, 2016

LTSIP kendali lebih dua juta penumpang pada tahun 2015

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan. 
KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan mencatatkan rekod baharu pada tahun lepas dengan mengendalikan seramai 2,063,745 orang penumpang berbanding 1,800,836 penumpang yang dicatatkan pada tahun 2014, iaitu peningkatan sebanyak 14.60 peratus. 

Secara perbandingan, dua lagi lapangan terbang utama di Pantai Timur, iaitu Lapangan Terbang Sultan Mahmud (Kuala Terengganu) dan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (Kuantan) masing-masing mencatatkan pengendalian penumpang seramai 857,239 dan 292,109 orang pada tahun 2015, manakala Lapangan Terbang 'Antarabangsa' Melaka hanya mengendalikan seramai 69,710 orang penumpang dalam tempoh yang sama. 

Jumlah pengendalian penumpang di LTSIP dijangka akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang dan ia dijangka mengendalikan kira-kira tiga juta penumpang pada tahun 2020 atau empat juta penumpang pada tahun 2025. 

Terdapat empat syarikat penerbangan utama yang beroperasi di LTSIP, iaitu Malaysia Airlines (MAS), AirAsia, Firefly Airlines, dan Malindo Air. 

Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.my

No comments:

Post a Comment