Tuesday, July 2, 2019

Scoot tawar penerbangan terus Kota Bharu – Singapura

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu, hari ini menerima ketibaan pertama penumpang penerbangan Scoot dari Singapura. 
KOTA BHARU: Syarikat penerbangan tambang rendah milik penuh Singapore Airlines Group, Scoot memulakan perkhidmatan penerbangan terus laluan Kota Bharu-Singapura sebanyak tiga kali seminggu bermula hari ini. 

Pemangku Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan, berkata penerbangan dari dua destinasi itu akan mengambil masa sejam 30 minit, tanpa perlu membuat persinggahan atau transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti sebelum ini. 

Katanya, penerbangan terus itu menjadikan bandar ini destinasi ketujuh perkhidmatan Scoot di Malaysia selepas Ipoh, Kuala Lumpur, Kuantan, Kuching, Langkawi dan Pulau Pinang. 

“Bermula hari ini, Scoot akan membuat penerbangan tiga kali seminggu pada hari Selasa, Ahad dan Jumaat dengan tempahan boleh di buat melalui aplikasi Scoot atau laman sesawang www.FlyScoot.com

“Dengan penyediaan perkhidmatan ini, penumpang sama ada yang mahu mengunjungi Kota Bharu atau Singapura secara terus mampu menjimatkan masa lebih dua jam kerana tidak perlu transit di Kuala Lumpur lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Sempena dengan pembukaan perkhidmatan penerbangan ini, bermula 9 hingga 11 Julai, Scoot menyediakan tambang sehala istimewa dari Kota Bharu ke Singapura serendah RM59, termasuk cukai bagi kelas ekonomi bagi penerbangan sebelum 25 Oktober tahun ini. 

Terdahulu, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu, hari ini menerima ketibaan pertama penumpang penerbangan Scoot dari Singapura. 

Penerbangan yang membawa seramai 130 penumpang itu tiba kira-kira jam 4.05 petang dengan disambut meriah paluan gendang dan hulubalang serta jelitawan berpakaian Melayu klasik di balai ketibaan. 

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Hassan Mohamood; Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia negeri, Mohd Aidil Afizie Daud; Pengurus Besar Pelancongan Wilayah Timur, Hafiz Hazin dan Pengurus Besar Pemasaran Penerbangan Malaysia Airport Holdings, Mohamed Sallauddin Mat Sah. 

Sementara itu, Hassan berkata, penerbangan langsung dari luar negara itu ke negeri ini bakal merancakkan aktiviti pelancongan di negeri ini, khususnya bagi menghadapi Tahun Melawat Kelantan 2020. 

“Kita sebenarnya sudah lama menunggu saat ini, malah kita rancang lebih banyak penerbangan langsung dari Kelantan ke luar negara. 

“Kita menanti adanya penerbangan terus dari Kelantan ke negara lain seperti Vietnam dan Bangkok,” katanya. 

Sumber: Berita Harian Online | 2 Julai 2019

No comments:

Post a Comment