Tuesday, July 2, 2019

130 penumpang sertai penerbangan sulung Scoot ke Kelantan

KOTA BHARU: Kelantan hari menerima penerbangan sulung syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, Scoot di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini petang ini.

Penerbangan pesawat Airbus A320 yang tiba pada 4.05 petang dengan 130 penumpang itu disambut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat Kebudayaan Masyarakat Kebudayaan Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan Datuk Hassan Mohamood.

Turut sama menyambut ialah Pengurus Besar Pelancongan Wilayah Timur Hafiz Hazin, Pengurus Besar Pemasaran Penerbangan Malaysia Airport Holdings Bhd Mohamed Sallauddin Mat Sah, Ketua Penolong Setiausaha Pelancongan dan Kebudayaan Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan, Nik Mahmud Nik Jaafar, serta Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Seni dan Budaya Malaysia Negeri Kelantan Mohd Aidil Hafizie Daud. 

Hassan berkata penerbangan sulung itu cukup bermakna kerana ia menjadi penanda aras kepada LTSIP menjadi lapangan terbang antarabangsa tidak lama lagi.

"Kita juga sedang menunggu penerbangan dari Kota Bharu – Vietnam dan Kota Bharu – Bangkok yang dijadual hujung tahun ini," katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan pesawat A320 Scoot di LTSIP.

Scoot adalah syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines Group yang mula beroperasi mulai 2012.

Ia mengendali tiga penerbangan pergi dan balik seminggu dari Singapura ke Kota Bharu dan sebaliknya.

Sementara itu Pemangku Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan dalam kenyataan media hari ini berkata pihaknya berbangga menjadi satu-satunya pengendali antarabangsa yang menawarkan penerbangan terus antara Kota Bharu dan Singapura.

"Kami memilih ibu negeri Kelantan sebagai destinasi terbaru (destinasi ketujuh) di Malaysia kerana pesona dunia lama dan keindahan alam semula jadinya dan kami yakin pelancong akan menikmati suasana kampung nelayan dengan pantai indah yang dihiasi pepohon kelapa serta sawah yang luas terbentan," katanya.

Sumber: Bernama | 2 Julai 2019

No comments:

Post a Comment