Saturday, July 6, 2019

Laluan Kota Bharu – Alor Setar dan Kota Bharu – Pulau Langkawi bakal dibuka seawal bulan Ogos depan

Gambar hiasan: Kabin pesawat jenis DHC-6-400 Twin Otter dengan 19 tempat duduk.
MENURUT maklumat yang diperoleh daripada sumber yang rapat dengan industri penerbangan, terdapat dua lagi laluan domestik yang bakal dibuka dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan, iaitu ke bandar raya Alor Setar dan Pulau Langkawi, Kedah. 

Dua laluan baharu ini dijangka dapat mula beroperasi seawal bulan Ogos depan dengan menggunakan pesawat jenis Viking Air DHC-6 Twin Otter (Twin Otter) yang dilengkapi dengan 19 tempat duduk

Laluan-laluan Kota Bharu – Alor Setar (KBR-AOR) dan Kota Bharu – Pulau Langkawi (KBR-LGK) kelak bakal mengukuhkan kedudukan LTSIP sebagai hab penerbangan utama di Pantai Timur. Pada ketika ini, terdapat lima buah syarikat penerbangan yang beroperasi di LTSIP, iaitu Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia Berhad (AirAsia), FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly), Malindo Airways Sdn. Bhd. (Malindo Air), dan Scoot Tigerair Pte. Ltd. (Scoot).  

Laluan baharu ini dijangka mendapat sambutan ramai kerana ia dapat menjimatkan waktu perjalanan dari Kota Bharu ke Alor Setar dan Pulau Langkawi yang pada ketika ini perlu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor terlebih dahulu sebagai pusat transit. 

Butiran lanjut dijangka bakal diumumkan tidak lama lagi. Maklumat terkini tentang laluan baharu ini akan dikemas kini di laman Facebook Laluan Penerbangan Kota Bharu – Alor Setar (www.facebook.com/laluankbas) dan Facebook Laluan Penerbangan Kota Bharu – Pulau Langkawi (www.facebook.com/laluankblangkawi) dari masa ke masa. 

Satu lagi laluan yang sedang dalam perancangan untuk dibuka oleh syarikat penerbangan yang sama ialah Kota Bharu – Kuantan sekali gus menjadikan LTSIP sebagai hab operasi utamanya di Pantai Timur. 

Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.com

No comments:

Post a Comment