Saturday, January 23, 2016

Syarikat penerbangan tempatan diharap perkenal laluan Kota Bharu - Tawau dan Kota Bharu - Miri

KOTA BHARU: Syarikat penerbangan tempatan terutamanya AirAsia, Malaysia Airlines (MAB), atau Rayani Air (RA) diharap dapat memperkenalkan dua laluan baharu ke Malaysia Timur dari Kota Bharu pada tahun ini.

Dua laluan berpotensi besar untuk diterokai tersebut ialah Kota Bharu - Tawau (KBR-TWU) dan Kota Bharu - Miri (KBR-MYY). 

Berdasarkan maklum balas daripada kaji selidik yang kami jalankan selama ini, terdapat permintaan yang cukup menggalakkan bagi laluan Kota Bharu - Tawau lebih-lebih lagi terdapatnya komuniti Kelantan dan Terengganu yang bermastautin di Bahagian Tawau, Sabah dengan jumlah yang cukup ramai. 

Komuniti Kelantan dan Terengganu di Bahagian Tawau ini telah membentuk suatu komuniti kekal sehingga ada yang membuka perniagaan sendiri di sana. Mereka juga sering berulang-alik antara Tawau - Kota Bharu dengan perkhidmatan penerbangan ke Kota Bharu sama ada melalui Kota Kinabalu (Tawau - Kota Kinabalu - Kota Bharu), Kuala Lumpur (Tawau - Kuala Lumpur - Kota Bharu), dan juga Johor Bahru (Tawau - Johor Bahru - Kota Bharu). 

Tawau yang juga merupakan pintu masuk ke beberapa buah pulau antara yang tercantik di dunia, iaitu Pulau Sipadan dan Pulau Mabul boleh menjadi pintu masuk pelancong dari Pantai Timur, Semenanjung Malaysia terus ke Tawau. 

Buat permulaan, perkhidmatan penerbangan terus Kota Bharu - Tawau ini boleh diperkenalkan dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu atau pun setiap hari Ahad, Rabu, dan Jumaat. 

Laluan Kota Bharu - Miri pula, mendapat permintaan yang kedua paling popular selepas laluan Kota Bharu - Tawau. Laluan ini jika diperkenalkan nanti bukan sahaja dapat menampung permintaan penumpang di Bahagian Miri, Sarawak tetapi juga dari negara Brunei Darussalam. 

Komuniti Kelantan juga wujud di Bahagian Miri terutamanya warga pendidik, pasukan keselamatan, dan juga mereka yang terlibat dengan industri minyak dan gas (O&G). 

Kebanyakan warga Kelantan yang menetap di Miri yang ingin pulang ke Kota Bharu terpaksa transit melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlebih dahulu. Ia bukan sahaja merugikan masa tetapi juga terpaksa mengeluarkan kos tambahan kerana mengambil dua penerbangan untuk sehala. 

Penerbangan terus Kota Bharu - Miri ini juga boleh diperkenalkan dengan kekerapan tiga kali seminggu. 

Sumber: Kota Bharu Airport | www.kotabharuairport.blogspot.my 

No comments:

Post a Comment